SUDAH menjadi impian para peminat untuk menghadiri setiap konsert dan sesi pertemuan peminat bersama idola pujaan hati mereka meskipun bintang berkenaan berada jauh di negara asing.
Namun impian tersebut adalah satu kenyataan yang dilalui seorang peminat kumpulan K-pop, Chen Jia Xin yang sanggup berhabisan ribuan ringgit hanya untuk menyokong kumpulan Korea kesayangannya, TVXQ dan JYJ.
Lagu bertajuk 'Stay with me tonight' lantunan kumpulan lelaki dari Korea Selatan tersebut berjaya menawan hati wanita dari Pulau Pinang itu sekali gus menjadikannya peminat setia selama 16 tahun.
"Saya mula minat mereka pada sekitar tahun 2006, saya ketika itu berusia 14 tahun. Saya berharap dapat pergi ke konsert jelajah mereka di Kuala Lumpur. Tetapi mak melarang saya untuk ke Kuala Lumpur.
"Saya ingat saya menangis dan mengadu pada kakak di dalam bas sekolah. Pada hari konsert, saya sangat sedih kerana betul-betul berharap dapat pergi.
"Bagaimanapun, impian saya itu hanya tercapai pada tahun 2013. Ketika itu, saya sudah berusia 21 tahun. Saya akhirnya dapat hadiri TVXQ! Live World Tour 'Catch Me' di Kuala Lumpur," katanya kepada Majoriti.
Sebagai rekod, kumpulan TVXQ yang pada asalnya memiliki lima ahli iaitu Kim Jaejong, Park Yoochun, Shin Changmin, Kim Junsu dan Jung Yunho telah berpecah setelah tiga daripada ahlinya keluar dari kumpulan untuk membentuk kumpulan baru bernama JYJ sekitar tahun 2009.
Sebahagian daripada tiket konsert dan kad cenderahati rasmi yang masih disimpan Jia Xin—Majoriti
Wanita yang kini berusia 30 tahun itu menyangka dirinya akan berhenti meminati kumpulan tersebut setelah ahli kumpulannya berpecah, namun sangkaannya meleset.
"Setelah mereka berpecah. Saya ingat saya akan berhenti meminat mereka. Tapi sebaliknya, saya menghadiri setiap konsert mereka. Sama ada sebagai TVXQ, JYJ atau solo.
"Setakat yang saya ingat, saya sudah hadiri sekurang-kurangnya 11 konsert di dalam dan luar negara. Saya tak ingat berapa saya dah habiskan. Tapi kalau konsert di Thailand, saya akan habiskan sekitar RM3,000 termasuk tiket konsert.
"Kalau konsert, perjumpaan peminat atau apa-apa acara di Jepun atau Korea, saya bajet dalam RM5,000 tidak termasuk tiket konsert," kata Jia Xin yang kini berkhidmat di sebuah bank.
Jia Xin dan rakan Cassiopeia (nama bagi peminat TVXQ)—Majoriti
Bagi peminat selebriti antarabangsa yang berhajat untuk menghadiri konsert di luar negara, Jia Xin ada kongsikan tip untuk anda sekiranya berminat untuk mengikut jejaknya.
1. Segera tempah tiket penerbangan
Setelah mengetahui tarikh konsert, Jia Xin akan terus beli tiket penerbangan sekiranya ada. Ini penting kerana semakin dekat tarikh, semakin mahal harga tiket. Jadi perlu tangkas.
2. Cuba berjimat dalam perbelanjaan
Kalau tidak merancang untuk melawat tempat pelancongan lain. Jia Xin akan tinggal di hotel atau motel berdekatan dengan venue konsert. Penting untuk pastikan kawasan ini selamat terlebih dahulu. Ini menjimatkan kos pengangkutan. Paling bagus, kalau dapat berkongsi dengan peminat lain yang pergi ke konsert sama.
3. Buat sedikit kaji selidik
Dia juga akan buat tinjauan di internet tentang kawasan di situ termasuklah keadaan cuaca dan akses kepada makanan. Persediaan awal penting untuk penjimatan berganda supaya tidak perlu beli barang di saat akhir.
4. Kemas kini pasport
Pasport adalah dokumen paling penting sekiranya hendak ke luar negara. Justeru, peminat perlu sentiasa pastikan pasport tidak tamat tempoh. Nanti semua dah siap, itu pula yang sangkut.—Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram