DALAM aksi saingan Liga Super 2022 pada Selasa, Selangor FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila sekadar seri 1-1 menentang Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Skuad Gergasi Merah mencetak gol awal pada minit ketiga menerusi penyerang sensasi Brazil, Herlison Caion yang melengkapkan hantaran daripada pemain muda Mukhari Ajmal Mahadi.
Bagaimanapun, Sabah berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua apabila pemain sayapnya, Saddil Ramdani berjaya menyudahkan gol melalui satu ledakan padu selepas mengawal bola dengan kemas dan mengelirukan lawan.
Skil menggelecek bola yang ditunjukkan pemain Indonesia itu benar-benar memikat penyokong Sabah yang merasakan dia berjaya mengelirukan benteng pertahanan lawan.
"Gilalah skil Saddil ni. Kucar kacir pertahanan Selangor dia buat," kata Azmil Melz.
"Tendangan 'pecel lele' daripada Saddil mendonia bossku...Tahniah Sabah FC bawa pulang satu mata berharga dari tempat lawan," tambah Iyory Vynd.
Saddil yang memiliki kekuatan kaki kiri mendapat jolokan 'Gocekan (Gelecek) Pecel Lele' ketika dia bermain dengan pasukan bawah 19 tahun Indonesia.
Penyokong Sang Badak turut merasakan pemain berusia 23 tahun itu mengingatkan mereka kepada legenda Sabah, Matlan Marjan yang cukup lincah dan laju.
"Inilah gol yang paling puas hati, bawa sendiri, drible bola sendiri, cut-back sendiri dan shot sendiri," kata Sharf Moss.
Jose (kanan) dan Kim Swee berbincang sesuatu ketika sesi latihan sebelum bertemu Selangor FC. — Facebook Sabah FC
Ketika pemain kelahiran Raha, Indonesia itu mendapat pujian penyokong, import baharu Sabah, Jose Embalo yang melakukan penampilan sulung pula dirasakan masih 'malu-malu' untuk mempamerkan aksi sebenar.
Pemain beumur 29 tahun dari Guinea Bissau itu dipercayai belum menemui rentak sebenar serangan dan persefahaman antara rakan sepasukan.
Penyerang kelahiran Lisbon, Portugal itu diharap dapat memberi persembahan menarik pada perlawanan seterusnya.
"Embalo nampaknya masih dalam proses penyesuaian, Harap next game keluar la taring dia," kata Ghazali Abdullah.
"Saddil always padu. Embalo pun belum nampak lagi permainan dia, satu game takkan kita mahu judge sudah kan," ujar Roy James.
Secara keseluruhan, penyokong Sabah FC merasakan anak buah kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu memperkemaskan cara bertahan lebih-lebih jika berdepan lawan kuat seperti Johor Darul Takzim (JDT).
"Cara bertahan Sabah sangat kelam kabut, lawan JDT yang begitu tersusun serangan mereka, senang kena makan macam tu.
"Pemain tengah juga kena lebih kreatif untuk mencari gol," tambah Roy James.
Rata-rata penyokong Sabah turut merasakan formasi 3-4-3 seperti yang dipamerkan Sabah FC ketika menentang Gergasi Merah, tidak sesuai.
Mereka meminta Kim Swee mengkaji dan menggunakan taktikal bersesuaian memandangkan formasi 3-4-3 dianggap satu taktikal yang lapuk dan lemah jika berdepan lawan kuat.
Sabah kini berada di tempat kedua carta Liga Super dengan 19 mata daripada sembilan perlawanan manakala Selangor di kedudukan keenam (12 mata).
JDT kekal di tangga teratas dengan 22 mata selepas lapan perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram