Disangka sampah, rupanya mayat dalam guni dibuang ke dalam sungai


  • Benua
  • Rabu, 29 Jun 2022

Mayat seorang lelaki berusia 20 tahun yang ditemukan oleh pekerja pembersihan dipercayai dibunuh. — Agensi

PENEMUAN mayat dalam guni di Sungai Pesanggarahan, JI Deplu Raya, Kebayoran Lama, dekat Jakarta Selatan, Indonesia menimbulkan kekecohan.

Mayat lelaki itu dipercayai dibunuh sebelum dibuang ke dalam sungai.

Difahamkan, mayat tersebut ditemui oleh kakitangan pembersihan dari Sudin Lingkungan Hidup (Sudin LH) Jakarta Selatan pada kira-kira pukul 10.15 pagi Selasa.

Pada mulanya, pekerja tersebut yang sedang membersihkan sampah berasa curiga dengan kehadiran sebuah guni yang tersangkut.

Selepas dibuka, guni tersebut sememangnya tidak mengandungi sebarang sampah, sebaliknya terdapat mayat lelaki di dalamnya.

Sementara itu, polis masih menyiasat penemuan mayat tersebut, selain percaya bahawa ia dibuang dari jambatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kebayoran Laman, Kompol Agus Widar, identiti mayat juga masih belum diketahui dan dianggarkan berusia 20 tahun.

"Tiada kad pengenalan ditemukan pada mangsa," katanya.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Polis Kramat Jati untuk bedah siasat lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mayat, sungai, bunuh, Jakarta Selatan