SEKUMPULAN lelaki bersenjata dan bermotosikal bertindak melepaskan tembakan ke arah polis Pakistan yang mengiringi pasukan vaksin polio pada Selasa.
Ketika kejadian, pasukan vaksin sedang menghantar vaksin dari rumah ke rumah di bekas kubu kuat Taliban di negara itu.
Serangan tersebut mengakibatkan kematian dua pegawai polis dan seorang pekerja vaksinasi.
"Seorang pejalan kaki turut cedera," kata Aziz Ullah, seorang pegawai polis tempatan.
Penyerang itu kemudian segera melarikan diri dari lokasi kejadian.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku di Waziristan Utara, iaitu sebuah daerah di Wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Serangan itu berlaku sehari selepas kerajaan melancarkan kempen antipolio di seluruh negara, di tengah-tengah peningkatan serangan terhadap penyakit itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif mengutuk serangan itu dan mengarahkan siasatan.
Pada masa sama, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut tampil mengecam serangan itu di akaun Twitter mereka.
"@UNICEF bersama dengan @GovtofPakistan mengutuk serangan yang membunuh seorang pekerja polio, anggota keselamatan dan mencederakan seorang kanak-kanak di Waziristan Utara. Mereka yang terkorban adalah antara ribuan wira yang bekerja tanpa lelah untuk #EndPolio. Kami turut bersimpati dengan keluarga mangsa," tulisnya.
Sejak April, Pakistan telah menemui 11 kes polio baharu, semuanya di Waziristan Utara.
Di rantau ini, ibu bapa sering enggan memberi vaksin kepada anak-anak mereka.
Wabak itu merupakan tamparan besar kepada usaha Pakistan untuk membasmi penyakit itu, yang boleh menyebabkan lumpuh teruk kepada kanak-kanak.
Kempen antipolio Pakistan sering dikaitkan dengan keganasan.
Kumpulan bersenjata sering menyasarkan pasukan polio dan polis yang ditugaskan untuk melindungi mereka, mendakwa vaksinasi adalah konspirasi Barat untuk memandulkan kanak-kanak.
Pakistan dan Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia, yang mana penyakit polio masih dikategorikan sebagai endemik.
Pada 2021, Pakistan melaporkan hanya satu kes, seterusnya menimbulkan harapan bahawa negara itu hampir membasmi polio.
Waziristan Utara merupakan pangkalan untuk pelbagai kumpulan bersenjata, termasuk Taliban Pakistan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pakistan telah melakukan serangan ketenteraan secara besar-besaran untuk membersihkan wilayah itu.
Serangan tentera pula memaksa kumpulan bersenjata melarikan diri ke Afghanistan. Namun, serangan telah meningkat sejak kebelakangan ini, menambah kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan kempen antipolio.
Setakat minggu ini, pihak berkuasa kesihatan Pakistan telah menjalankan tiga langkah anti-polio kebangsaan bagi tahun ini, iaitu pada Januari, Mac dan Mei. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram