SPRM perlu bongkar petualang rompak dana rakyat — Anwar Ibrahim


  • Politik
  • Rabu, 25 Mei 2022

Anwar Ibrahim mahu SPRM mengambil tindakan segera untuk bawa pulang dana syarikat 1MDB.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk mengambil tindakan segera untuk bawa pulang setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu ditegaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di akaun Facebook miliknya.

Menurut Anwar, SPRM perlu bertindak segera kerana isu berkenaan melibatkan sikap individu terhadap rasuah dan penyelewengan dana oleh penguasa perasuah.

"Saya menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkaitan usaha untuk membawa pulang setiap sen dana syarikat 1MDB.

"SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu," katanya.

Pada Selasa, Azam berkata, usaha untuk membawa pulang setiap sen dana syarikat 1MDB yang diseleweng masih belum selesai.

Tambah beliau, pada tahun 2020, sejumlah RM14 bilion berjaya dituntut melalui kompaun dan penyelesaian daripada pelbagai pihak manakala RM5.11 bilion lagi diperoleh pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sikap tegas terhadap rasuah dan salah guna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi.

"Kita tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram