PERANG mulut di antara Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di ruangan media sosial sejak beberapa hari lepas masih tidak menemui titik noktah.
Perbalahan antara mereka bermula dengan dakwaan Muhammad Sanusi berhubung isu "tokong" sehingga Tunku Ismail membidas Menteri Besar Kedah itu mengenai isu tidak memberikan sebarang sumbangan kepada industri bola sepak tanah air.
Terbaharu, Muhammad Sanusi pula mempersoalkan hal pendrive yang pernah kecoh pada tahun 2016 lalu iaitu TMJ mendakwa baginda mempunyai bukti mengenai ada ketirisan berlaku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Kedua-dua individu penting dalam arena bola sepak itu seakan tidak mahu mengalah kerana hampir setiap musim Liga Super ada sahaja episod baharu yang disajikan kepada penyokong bola sepak khususnya peminat Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Takzim (JDT).
Malah, jika diteliti sebelum ini Muhammad Sanusi dan Tunku Ismail juga pernah berbalah sebelum suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar Ahad pada 2021 berhubung isu TMJ membangkitkan masalah tunggakan gaji membabitkan pasukan Kedah.
Selepas perlawanan itu, Tunku Ismail mengirim sejambak bunga ros merah dan beberapa bungkusan makanan segera daripada McDonalds kepada Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi menunjukkan cekodok yang dimakan di hadapan hidangan McDonald's.
Sehubungan dengan itu, bagi beberapa pengguna media sosial perang mulut yang diadakan oleh TMJ dan Muhamad Sanusi hanyalah sebagai taktik promosi bagi menghangatkan lagi perlawanan seterusnya antara kedua pasukan.
"Dua ini bijak. Kita peminat sibuk gaduh tapi anda tidak sedar ke mereka ini saja nak meramaikan orang datang tengok game nanti. Ingat saja pada tahun lalu di Darul Aman, kan gaduh besar pasal gaji sebelum game suku akhir Piala Malaysia itu. Kali ni buat lagilah. Promo saja ni. Kasihan, satu Malaysia kena tipu. Hahahhahah," ujar Yuri Marya.
"Kenapa aku pernah cakap. Aku suka banter YB Sanusi dengan TMJ. Dan bagaimana permainan TMJ untuk “cari gaduh” dengan Selangor. Ini adalah promotion bro. Promotion. Berita sensasi. Bikin panas. Masuk line. Bakar semangat. Benda ni yang ”panaskan” suasana. Bagaimana TMJ balas kepada YB Sanusi dengan berikan MCD. Kemudian dibalas semula dengan pantun Sanusi. Oh gila. Masa tu, game Kedah JDT ditonton jutaan orang," kata Jali Pok Yah.
"Gaduh-gaduh manja saja mereka ini. Mungkin mereka lagi rapat dari yang kita sangkakan. Boleh jadi kan," kata Putri Amina.
Aksi penyerang JDT, Bergson da Silva (kanan) dan pertahanan Kedah, Rodney Celvin pada suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada November 2021.
Dalam pada itu, meskipun ramai penyokong turut serta dalam perbalahan berkenaan namun tidak kurang juga rata-ratanya menanti perlawanan Harimau Selatan menentang skuad Hijau Kuning yang akan berlangsung pada 19 Jun nanti di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Untuk rekod, berdasarkan lima perlawanan terakhir kedua pasukan, rekod ternyata berpihak kepada JDT yang memenangi empat perlawanan, manakala Kedah gagal mencatatkan sebarang kemenangan dan hanya mencatat seri dalam tempoh tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram