Lelaki gila talak bunuh bekas isteri sebelum tembak kepala sendiri


  • Benua
  • Rabu, 25 Mei 2022

Seorang penyelamat melihat kereta yang mana bekas pasangan suami isteri ditemui mati di tepi jalan di Tambon Khok Kruat daerah Muang, Nakhon Ratchasima, awal pagi Selasa.

SEORANG kontraktor pembinaan dan bekas isterinya ditemui mati dengan masing-masing mempunyai satu kesan tembakan dan mayat mereka dijumpai dalam sebuah kereta di daerah Muang, Nakhon Ratchasima, Thailand pada awal pagi Selasa.

Kereta itu berhenti di tepi jalan Khok Kruat-Nong Pling berhampiran Ban Sa Manora di Tambon Khok Kruat.

Wakil polis tempatan, Kapten Vinai Saensuk berkata, mayat ditemui oleh orang yang lalu-lalang dan melaporkannya ke balai polis Pho Klang di daerah Muang kira-kira pukul 2.30 pagi.

Susulan kejadian itu, polis dan kakitangan perubatan dari Hospital Maharat Nakhon Ratchasima dihantar untuk memeriksa tempat kejadian.

Mereka menemui Sonthaya Soongmai, 35, mati di tempat duduk pemandu sambil memegang pistol 9mm di tangan kanannya dengan kesan tembakan di dahi kanannya.

Manakala, di bahagian tempat duduk hadapan sebelah kiri ialah Sommutithita Natthakhamkhokkruat, 35, yang turut mengalami kesan tembakan di dahi kanan.

Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui dua kelongsong peluru 9mm ditemui di dalam kereta itu.

Vinai berkata, Sonthaya dan Sommutithita adalah bekas pasangan suami isteri yang mempunyai seorang anak tetapi kedua-duanya berpisah kira-kira empat bulan lalu apabila lelaki itu berkahwin dengan wanita lain.

Lelaki itu merupakan seorang kontraktor pembinaan manakala bekas isterinya pula adalah seorang pekerja kilang.

Difahamkan, Sonthaya baru-baru ini cuba untuk berdamai tetapi bekas isteri menolaknya.

Pada petang Isnin, Sonthaya memandu keretanya ke kilang di Tambon Cho Ho iaitu tempat Sommutithita bekerja dan sejurus sahaja wanita itu keluar dari tempat kerja, lelaki berkenaan memaksa Sommutithita mengikutinya masuk kereta sambil meletakkan senjata pada kereta itu.

Kejadian itu dilihat oleh rakan sekerja dan melaporkan kejadian itu kepada polis Cho Ho.

Pasangan suami isteri itu kemudian ditemui mati di dalam kereta, kira-kira 20 kilometer dari kilang berkenaan.

Hasil siasatan awal pihak polis, mereka mengesyaki lelaki itu menembak mati isterinya dan kemudian membunuh dirinya sendiri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram