TMJ hadiah emoji 'cool', jawab isu pendrive dah lama 'settle'


  • Podium
  • Rabu, 25 Mei 2022

Gambar Khairy bertemu TMJ berhubung isu pendrive di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru pada 2016.

PEMILIK kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tenang menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu pendrive yang pernah kecoh pada 2016.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) sekadar memberi emoji kaca mata hitam yang membawa maksud cool menerusi satu ciapan di Twitter pada Rabu.

Ciapan TMJ itu bagi membalas tweet yang dimuat naik seorang pengguna Twitter, Zack Alif mengenai isu pendrive yang dibangkitkan oleh Menteri Kedah itu, sebelum ini.

"Haters going to hate anyways. Si Sanusi ni pula nak bajet-bajet hero tetiba petik isu thumbdrive ni sedangkan @hrhjohorii dah pun serahkan thumbdrive pada pihak yang patut," ciapnya.

tmj pendrive

Tangkap layar ciapan TMJ yang menyertakan emoji cool di Twitter pada Rabu. — Twitter

Pada masa sama, TMJ sekali lagi membalas emoji kaca mata hitam pada ciapan portal Majoriti yang menyertakan pautan artikel mengenai respons ringkas dan cool beliau terhadap isu pendrive yang dibangkitkan semula oleh Sanusi.

Ciapan itu dimuat naik pada pukul 2.58 petang, Rabu.

tmjmajoriti

Tangkap layar reaksi TMJ terhadap pautan artikel Majoriti. — Twitter

Terdahulu, TMJ membuat retweet kepada ciapan Zack Alif yang menyertakan pautan artikel portal Semuanyabola.com bertajuk 'Kronologi lengkap isu pendrive yang pernah gegar FAM, apa yang anda perlu tahu?'.

Sementara itu, TMJ turut meninggalkan komen yang mengatakan bahawa kenyataannya adalah berlandaskan fakta.

"Facts. Ini TMJ bukan ahli politik," komennya ringkas di Instagram (IG) dengan memuat naik tangkap layar komen berkenaan di IG Story @hrhcrownprinceofjohor miliknya.

Menurut laporan Semuanyabola.com, sebenarnya isu pendrive sepatutnya tidak timbul lagi apabila siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur rasuah, dan hanya salah laku teknikal oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang terkandung di dalam pendrive tersebut.

Malah, TMJ memaklumkan tindakannya menyerahkan pendrive berkenaan kepada Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hanya untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dan bukannya menghukum FAM.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, isi kandung dalam pendrive yang saya terima adalah mengenai salah laku dari segi teknikal seperti sikap pilih kasih, jurulatih tidak profesional dan exco tidak memainkan peranan dalam tugasan dengan betul.

“Saya berikan kepada Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikannya bukan untuk menghukum FAM dan menggantung FAM. Sekiranya kita menggantung FAM, ia akan menjejaskan liga.

“Saya hanya menasihatkan kepada individu berkenaan untuk berundur dengan cara baik tahun depan dan digantikan dengan individu yang lebih layak menjalankan tugas,” ujar TMJ ketika itu seperti dipetik laporan artikel berkenaan.

WhatsApp Image 2022-05-25 at 1.03.45 PM

Tangkap layar IG Story TMJ pada Rabu. — Instagram

Pada Selasa, isu pendrive dibangkitkan semula oleh Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dengan mempersoalkan hal pendrive yang pernah kecoh pada tahun 2016.

Ketika itu, TMJ mendakwa ada ketirisan berlaku dalam FAM dan baginda turut menyatakan segala bukti kesalahan tersebut wujud di dalam pendrive yang diperoleh menerusi orang-orang atasan yang rapat bersama pemilik JDT.

Pendedahan pendrive oleh TMJ pada ketika itu secara ringkas merumuskan bahawa FAM telah gagal menangani masalah mengatur perlawanan.

Ini kerana sesetengah bekas pemain yang pernah terbabit dalam gejala terkutuk itu adalah sahabat kepada segelintir kakitangan FAM sendiri.

Selain itu, pendrive berkenaan turut menyimpan masalah pentadbiran kewangan Liabiliti Terhad Kerjasama Bola Sepak Malaysia (FMLLP) – kini dikenali sebagai Malaysian Football League (MFL) – yang lebih menjurus kepada kepentingan pengurusan dan bukannya pasukan yang bertanding.

Kandungan lain yang telah didedahkan meliputi kegagalan sistem pembangunan akar umbi oleh FAM, kepincangan di dalam skuad kebangsaan, kelemahan sistem kejurulatihan, pengurusan pentadbiran FAM yang masih di zaman kuno dan sistem pemilihan pemain oleh ‘tangan ghaib’ pegawai FAM yang sudah berlanjutan sejak dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram