Makin panas, ini 5 kontroversi TMJ-Sanusi


  • Podium
  • Rabu, 25 Mei 2022

Permusuhan ini sudah lama berlaku sejak TMJ campur tangan terhadap isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada tahun lalu.

PERBALAHAN di antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan kini menjadi bualan hangat.

Perkara ini bukan baharu saja terjadi tetapi permusuhan ini sudah lama berlaku sejak TMJ campur tangan terhadap isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada tahun lalu.

Sejak daripada itu Sanusi tidak berdiam diri jika isu melibatkan pasukan Harimau Selatan dengan melontarkan sindiran dan jawapan jika TMJ mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial.

Permusuhan di antara dua pasukan ini bermula sejak perpindahan kontroversi Akhyar Rashid daripada pasukan Kedah ke Johor pada awal Januari 2019 sehingga tercetusnya pendebatan hangat dalam kalangan peminat.

Ini merupakan lima kontroversi di antara Sanusi dan TMJ:

Kepala Pistol

Tunku Ismail menempelak pengurusan KDA yang didakwa tidak serius menguruskan kebajikan pemain dengan tunggakan gaji dua bulan. — Facebook

1. Kepala Pistol

Perkara ini bermula apabila TMJ membangkitkan isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Kedah yang dilaporkan sudah tertunggak selama dua bulan.

Tunku Ismail menempelak pengurusan KDA yang didakwa tidak serius menguruskan kebajikan pemain setelah tunggakan itu diselesaikan apabila hendak berdepan JDT sahaja.

“Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol,” tulis Tunku Ismail.

Teguran pedas Tunku Ismail itu tidak disenangi Sanusi yang akhirnya memberi maklum balas menerusi laman media sosial rasmi Facebook miliknya.

“La ni bulan sebelas dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia,” tulis Sanusi.

Perang mulut ini berlaku ketika pertemuan suku akhir Piala Malaysia 2021 antara Kedah Darul Aman FC dengan JDT pada tahun lalu.

Diet

Sanusi berkongsi gambar beliau bermain bola sepak apabila TMJ mengingatkannya supaya menjaga beliau menjaga kesihatan. — Facebook

2. Diet apa diet?

Selepas isu campur tangan TMJ tentang tunggakan gaji pasukan Kedah, Tunku Ismail mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah dengan mengingatkannya supaya menjaga kebajikan pemain dan rakyat.

“Salam Datuk. Gaji dah bayar? Bagus. Kebajikan pemain atau rakyat harus kita jaga. ‘Well done‘, jaga diri dan jaga kesihatan. Kalau nak diet call, saya ajar,” kata Tunku Ismail di laman sosial.

Tetapi, jawapan yang diberikan oleh Presiden KFA sekali lagi menjadikan keadaan lebih tegang, apabila komen TMJ seakan menyindir Menteri Besar Kedah itu.

“Hang tak pakai seluaq lagi aku main bola dah ... La ni pun dok main bola lagi ... Diet apa diet?,” tulis Sanusi dalam Facebook.

Ketika itu, reaksi balas tersebut telah menghiburkan peminat bola sepak tanah air yang mengikuti sesi berbalas kedua-dua individu penting pasukan bola sepak masing-masing.

Sanusi membaca pantun empat kerat yang memerli JDT dalam satu acara majlis pada tahun lepas. — Facebook

3. Pantun JDT

Perang mulut antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan isu bola sepak bukanlah sesuatu yang asing dan ia kembali menghangatkan media sosial.

Terdahulu, Muhammad Sanusi pernah membaca serangkap pantun ditujukan khas buat pasukan JDT yang gagal muncul sebagai juara Piala Malaysia edisi 2021 pada tahun lalu.

Menteri Besar Kedah itu melontarkan bait-bait pantun empat kerat di akhir ucapannya dalam satu majlis yang dianjurkan beliau pada tahun lepas.

“Dari Kedah ke Singapura, Singgah di KL membeli gula, Saya membawa khabar gembira, JDT kalah lawan bola," kata Sanusi dalam majlis itu.

Beliau turut didakwa sengaja mengusik pasukan Johor dengan ucapan tahniah buat pasukan Kuala Lumpur City FC (KLCFC) bersama sindiran mengatakan bahawa JDT kalah ramai orang yang gembira.

“Semua orang seronok JDT kalah, kalau JDT menang orang tak hairan pun, kan,” ujarnya sinis.

Twitter TMJ

TMJ mencabar Presiden KFA mendedahkan nama individu yang beliau gelar sebagai 'tokong' dalam bola sepak Malaysia. — Twitter

4. 'Tokong' dalam Liga Malaysia

Dan terkini, Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada minggu lalu mengeluarkan satu kenytaan, mengingatkan semua pihak agar tidak mewujudkan ‘tokong’ yang menjurus kepada TMJ dalam kancah bola sepak tanah air.

“Bola sepak ini bukan untuk individu dan tak boleh ada ‘tokong’ dalam sukan ini sampai semua nak pergi sembah dia dulu. Jangan ada tokong dalam bola sepak sebab bola sepak ini sukan untuk semua orang.

"Sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis ‘fair play‘ tetapi ada tokong. Semua nak kena tanya dia dulu, ‘mampuih’ lagu (macam) itu, nak main macam mana,” katanya dalam satu sidang akhbar pada minggu lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sanusi itu mendapat maklum balas dari pemilik Johor Darul Ta'zim, TMJ yang mencabar Presiden KFA itu untuk menyebut nama individu yang dimaksudkan olehnya.

“Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segalanya, ini cakap main sembur badut McDonald pun boleh.

"Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam, terus buat cerita sensasi nak naikkan 'rating'. Sikap tipikal ahli politik," tulis Tunku Ismail.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sanusi itu berlaku apabila timbul isu tentang pengadil perlawanan memberikan tambahan masa 10 minit pada babak kedua perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada minggu lalu.

INSTA TMJ

Posting dari TMJ yang mendakwa dua legenda Kedah keluar dari pasukan disebabkan perangai halusinasi Sanusi. — Instagram

5. Sanusi Halusinasi

Senario konflik antara pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus panas.

Menerusi hantaran Instagram Story milik, TMJ kembali melontarkan kritikan apabila menegaskan pasukan hebat seperti Kedah tidak memerlukan individu seperti Sanusi kerana Menteri Besar Kedah itu tidak mempunyai sebarang sumbangan terhadap bola sepak tanah air.

“Sampai dua lagenda pasukan sendiri pun angkat kaki tak tahan dengan perangai halusinasi. Pasukan hebat seperti Kedah tak perlukan orang macam ini.

“Satu sumbangan terhadap bola sepak tanah air pun tiada. Tapi dia punya sembang,” tulis TMJ.

Sanusi tidak berdiam diri apabila kenyataan yang dikeluarkan TMJ tentang dua legenda pasukan Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali meninggalkan pasukan disebabkan Presiden KFA tersebut.

"Sumbangan besar apa kepada siapa? dua pemain yang dikatakan legenda yang telah berhijrah ke Sabah itu memang bagus permainan mereka, tetapi gaji mereka berdua boleh digunakan untuk membayar 5 orang pemain baru yang tidak kurang hebatnya.

"Kedah bukan pasukan super kaya yang harus tunduk sahaja kepada gaya gaji elit yang diset oleh pihak lain yang berkemampuan membeli pemain terbaik pasukan lain untuk dikurung dalam sangkar mereka," balas Sanusi dalam Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram