Adik-beradik 'scammer' ditahan kaut untung RM3.29 juta di Melaka


  • 112
  • Jumaat, 11 Mac 2022

KEDUA-DUA beradik itu licik melarikan diri dengan berpindah randah ke beberapa negeri. — Bernama

POLIS Melaka menahan pasangan adik beradik, dipercayai terlibat kegiatan penipuan pembelian dalam talian termasuk penjualan lampin pakai buang kanak-kanak, melibatkan kerugian sebanyak RM3.29 juta.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek yang merupakan abang berusia 38 tahun dan adik perempuan berumur 36 tahun itu, ditahan di rumah mereka di Ayer Keroh, Melaka pada 8 Mac lepas selepas siasatan dan risikan dilakukan hampir dua bulan.

"Tangkapan ini bersabit dengan laporan pada 2016 dibuat dua mangsa yang merupakan penjawat awam, telah tertipu dengan suspek bagi pembelian lampin pakai buang yang ditawarkan menerusi laman sosial Facebook, membabitkan kerugian kira-kira RM838,000.

"Suspek telah menyakinkan mangsa dengan menghantar bekalan pada awal penjualan, namun selepas beberapa transaksi dibuat mereka selalu memberikan alasan kehabisan stok sehingga mangsa merasa tertipu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh pada Jumaat.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka, Superitendan E Sundra Rajan.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, susulan laporan dibuat pada tahun berkenaan, kedua-dua adik-beradik yang licik itu telah menghilangkan diri dan berpindah randah ke beberapa negeri.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek itu dipercayai terlibat dengan 75 kes penipuan di seluruh negara, dan aktif dengan aktiviti itu sejak 2005, selain menggunakan pelbagai modus operandi bagi menipu mangsa.

"Antara penipuan disyaki dilakukan adik beradik itu ialah urusan pembelian kereta, pembelian komputer riba tidak wujud, tipu perniagaan sewa kereta, tipu pakej pembelian telefon pintar dan pakej pelancongan, selain tipu pembelian jongkong emas serta pembelian set aksesori motor.

"Hasil penahanan itu, polis merampas tiga telefon bimbit dan sekeping kad keahlian parti politik yang tertera nama suspek dengan menggunakan gelaran Datuk," katanya.

Beliau berkata. suspek utama direman empat hari bermula tarikh ditangkap sehingga esok, bagi mengenal pasti penglibatan dalam kes-kes penipuan lain, manakala suspek kedua yang berperanan sebagai pemilik akaun, diberi jaminan polis selama sebulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Abdul Majid berkata, polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka juga menahan enam lelaki termasuk seorang Ah Long, dalam dua serbuan berasingan pada 1 dan 9 Mac lalu.

"Dalam serbuan pertama, empat lelaki tempatan dan seorang warga negara China berusia lingkungan 35 hingga 40 tahun ditahan, dipercayai menjalankan kegiatan penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud sejak Februari lepas, dengan menawarkan pekerjaan menjual tiket wayang yang menyasarkan mangsa di China.

"Manakala seorang lelaki berumur 32 tahun ditahan dalam serbuan lain, kerana dipercayai menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dan wang tunai RM53,000 turut dirampas," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram