'Pegawai LHDN' tipu peniaga RM45,400 di Kuantan


  • 112
  • Rabu, 09 Feb 2022

MANGSA membuat laporan polis selepas mendapati sejumlah wang dalam akaun bank miliknya lesap. — Gambar hiasan/Facebook

SEORANG peniaga mengalami kerugian RM45,400 selepas ditipu dua individu yang masing-masing menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa iaitu lelaki berusia 32 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa sebagai pegawai LHDN, pada jam 1.30 petang Ahad.

Ujar beliau, individu berkenaan memaklumkan syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM54,978.

"Mangsa menafikan mempunyai tunggakan cukai itu dan panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa dirinya sebagai Sarjan Siva dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu, Terengganu.

"Suspek kemudian menghantar satu pautan yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa dan meminta mangsa menekan pautan MyBNM serta mengisi maklumat berkaitan termasuk akaun bank milik mangsa," katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu.

Mohd Wazir memaklumkan, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis bagi tujuan penipuan.

Tambah beliau, mangsa membuat semakan akaun bank miliknya pada Selasa, namun mendapati wang simpanan berjumlah RM45,400 lesap.

Jelasnya, mangsa kemudiannya membuat semakan di sebuah bank di Kuantan, Pahang bagi mengetahui lebih lanjut berhubung kehilangan wang dalam akaunnya.

"Hasil semakan daripada pegawai bank, wang itu dipindahkan ke satu nombor akaun bernama Ridzuan Ramdan.

"Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu selepas merasakan dirinya ditipu," katanya.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menjelaskan, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa serta rangkaian sindiket Macau Scam terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram