SEORANG penjual ikan di Sabah berasa tertipu selepas mendakwa memperoleh bekalan ikan bawal tambak yang sebahagian isi perutnya disumbat dengan skru dipercayai bagi menambah berat timbangan bertujuan mengaut keuntungan.
Dakwaan itu dikongsikan pengguna aplikasi TikTok menggunakan nama @felix_saibun menerusi satu video di platform berkenaan yang sudah memperoleh lebih 43,700 tontonan setakat Selasa.
RAKAMAN video dakwaan ikan bawal diisi pemberat untuk menipu timbangan. — TikTok
"Sekarang ikan bawal Cina (Chinese pomfret) sangat mahal.
"Anda tengok macam mana pembekal layan kami (peniaga). Selepas aunty potong bahagian perut ikan, kami jumpa pemberat," dakwanya.
Felix turut mendakwa kesemua pemberat dipercayai skru itu memiliki berat kira-kira 200 gram.
"Kalau nak beli ikan bawal Cina, minta penjual ikan untuk siang perut ikan tersebut siap-siap sebelum menimbangnya semula," katanya.
Katanya, sebagai peniaga, mereka sangat sedih kerana diperlakukan sedemikian oleh pembekal dari negara jiran.
"Kami sangat sedih apabila pembekal buat kami macam ini, tetapi tiada apa yang kami boleh buat. Jadi, tolong berhati-hati beli ikan kalau timbangan mencurigakan," katanya.
Tinjauan Majoriti di laman web fishclub.my mendapati ikan bawal Cina dijual pada harga antara RM27.90 hingga RM282.50 mengikut berat.
Aplikasi mudah alih, Price Catcher yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula tidak menyenaraikan harga ikan bawal Cina.
Sebaliknya, hanya terdapat harga ikan bawal putih dan bawal hitam yang masing-masing berharga antara RM25.50 hingga RM51 dan RM20.49 hingga RM40 bergantung kepada berat dan premis jualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram