Pegawai Khas ADUN rugi ribuan ringgit kena tipu sindiket di Bahau


  • 112
  • Khamis, 17 Feb 2022

MANGSA membuat laporan polis selepas suspek masih meminta tambahan bayaran. — Gambar hiasan/Facebook

SEORANG pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Negeri Sembilan kerugian hampir RM10,000 selepas ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud dalam kejadian di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun itu mendakwa terlihat iklan pinjaman wang di Instagram sebelum berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan dua ejen dikenali sebagai Tony dan Daniel Heng yang menguruskan pinjaman wang tersebut.

Jelas Chang Hook, mangsa membuat pinjaman itu kerana dipercayai mengalami masalah kewangan.

"Mangsa kemudiannya diminta membayar sejumlah wang kerana 'scoring' akaun banknya tidak layak untuk melakukan pinjaman selain pembayaran itu bertujuan untuk menguruskan akaun bank tersebut serta bayaran cukai bagi meluluskan pinjaman berkenaan.

"Percaya dengan urusan yang dijalankan itu, mangsa melakukan bayaran sebanyak enam kali berjumlah RM9,345.92 ke tiga akaun bank berbeza," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Chang Hook, lelaki itu menyedari ditipu selepas ejen tersebut masih meminta tambahan bayaran untuk meluluskan pinjaman dan membuat laporan polis pada Rabu.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, Chang Hook memaklumkan seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun kerugian RM1,950 selepas ditipu dalam urusan pembelian komputer riba secara dalam talian serta mendakwa masih tidak menerima komputer riba itu selepas membuat dua kali pembayaran pada 3 dan 9 Februari lalu lepas.

"Remaja yang menyedari ditipu membuat laporan polis pada Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram