SEORANG lelaki berusia 55 tahun di Singapura dipenjara enam bulan pada Jumaat kerana bersubahat untuk menipu sebuah kedai pajak gadai S$18,000 (lebih RM55,000) bagi seutas jam tangan Rolex palsu.
Tan Kok Eng, rakyat Singapura, mengaku bersalah atas tuduhan itu
Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan Tan dihampiri rakannya, Aw Poh Heng, rakyat Singapura berusia 33 tahun, untuk memajak seutas jam tangan Rolex palsu di Marsiling Pawnshop.
Aw, yang turut dituduh dalam kes ini, didakwa memberitahu Tan dia perlu melunaskan hutang yang tertunggak dan sudahpun memperdaya kedai pajak gadai berkenaan sebanyak dua kali pada 15 Julai tahun lalu.
Dia memajak dua jam tangan Rolex palsu untuk mendapatkan S$34,500 (lebih RM107,000).
Aw tidak mahu membangkitkan rasa curiga pekerja kedai pajak gadai itu dengan memajak jam tangan mewah yang ketiga dalam tempoh dua hari dan disebabkan itulah dia meminta Tan untuk membantu memajakkan jam tangan itu bagi pihaknya
Selepas Tan bersetuju, Aw didakwa memberinya seutas jam tangan palsu berharga sekitar S$800 (hampir RM2,500).
Tan kemudiannya pergi ke kedai pajak gadai tersebut sekitar jam 10.00 pagi pada 16 Julai 2021 dan menyerahkan jam tersebut kepada seorang pekerja mendakwa bahawa barang itu adalah tulen.
Dia memberitahu pekerja itu dia tertinggal kotak jam tersebut dan sijil ketulenannya di rumah.
Kakitangan itu kemudian menerima jam tangan palsu itu sebagai pajak gadai dan menyerahkan kepada Tan wang tunai sebanyak S$18,000 (lebih RM55,000).
Tidak lama kemudian, Tan berjumpa dengan Aw untuk menyerahkan wang yang diterimanya itu.
Kedua-dua lelaki tersebut kemudian pergi ke sebuah kedai emas untuk membeli emas.
Tan membeli cangkuk tangkal emas bernilai sekitar S$430 (lebih RM1,300).
Ketika meminta hukuman penjara tujuh bulan, pihak pendakwa menyatakan wang tersebut belum dipulangkan kepada kedai berkenaan bagi kerugian yang dialaminya.
Kedai itu menyatakan kesanggupannya untuk menerima cangkuk tangkal emas itu, yang ditemui di rumah Tan selepas dia ditangkap.
Pihak berkuasa turut menemui sejumlah wang serta barang kemas yang dirampas dari rumah Aw.
Timbalan Pendakwa Raya, Dhiraj Chainani menekankan meskipun kebersalahan Tan lebih rendah berbanding Aw, yang membeli dan membekalkan jam tangan palsu, jumlah yang dikaut Tan daripada kedai pajak kedai itu adalah agak tinggi.
Tan merayu agar dia dikenakan hukuman lebih ringan dengan alasan dia merupakan satu-satunya pencari nafkah buat keluarganya.
Tan menambah dia ada dua orang anak yang masih bersekolah dan menerima bantuan kewangan daripada Majlis Bantuan Pembangunan China (CDAC).
Tan juga meminta untuk menangguhkan permulaan hukumannya sehingga selepas tempoh Tahun Baharu Cina berakhir, pada 15 Februari.
Hakim Daerah Jasvender Kaur mengarahkan hukuman penjara enam bulan Tan dimulakan pada 16 Februari.
Bagi satu tuduhan menipu, Tan boleh didenda atau dipenjara sehingga 10 tahun.
Kes Aw masih lagi menanti keputusan daripada mahkamah.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram