SEORANG anggota tentera maut, manakala empat cedera selepas lori yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 16, Jalan Penawar-Punggai dekat Kota Tinggi, Johor, petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, ketika kejadian pada jam 3.40 petang itu, kesemua mereka dari Pos Tanjung Leman, Mersing sedang menuju ke Pos Tanjung Sepang, Pengerang, Johor.
"Siasatan awal mendapati, punca kemalangan yang berlaku dipercayai gagal memotong dan akibatnya, seorang anggota tentera telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Selain itu, mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Anggota yang maut berusia 23 tahun, manakala empat yang lain berusia 22 hingga 38 tahun.
Hussin berkata, buat masa ini, pihak polis masih lagi dalam peringkat siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kematian anggota tentera akibat kemalangan yang berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi arahan lalu lintas di jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram