Pemandu lori mabuk rempuh lima kenderaan di Johor Bahru


  • 112
  • Ahad, 13 Feb 2022

TANGKAP layar video rakaman insiden kemalangan melibatkan lori berkenaan dan lima kenderaan lain di Pasir Gudang, Johor pada Sabtu. — Facebook

SEORANG pemandu lori ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan lain di Pasir Gudang, Johor pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Mohd Sohaimi Ishak, dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, lori jenis Scania yang dipandu oleh lelaki berusia 37 tahun tersebut dari arah Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru terbabas, lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh lima kenderaan lain.

Jelasnya, susulan nahas itu, seorang lelaki berusia 21 tahun yang memandu Perodua Alza meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru manakala seorang lagi lelaki berusia 46 tahun memandu Proton Waja masih dirawat di Zon Kuning HSI.

"Bagaimanapun, pemandu lori hanya mengalami luka kecil, manakala tiga lagi pemandu, dua memandu Perodua Axia dan seorang memandu Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Mohd Sohaimi, pemandu lori terbabit ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihak polis memandang serius kejadian melibatkan pemandu mabuk dan tidak akan berkompromi dengan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Terdahulu, kejadian kemalangan tersebut turut tular di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram