JENAZAH mangsa nahas kemalangan melibatkan motosikal, Nur Hasliza Abdul Yazaib, 25, dan bayinya, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol di Pasir Mas, Kelantan 10.30 pagi Sabtu.
Suami Allahyarham Nur Hasliza, Mohd Khairi Hasbullah, 31, berkata, isterinya yang mengandung sembilan bulan itu dijangka melahirkan anak keempat mereka pada 24 Februari ini.
"Saya reda dengan pemergian isteri dan anak saya, namun perasaan sedih tidak dapat digambarkan, apatah lagi arwah pergi dengan cara sebegini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Banggol Stol.
Mohd Khairi berkata, tumpuannya ketika ini adalah kepada anak keduanya Nurul Iman Maisara, 6, yang turut terbabit dalam kemalangan tersebut.
"Nurul Iman Maisara ketika ini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir mengesahkan bahawa kemalangan itu telah mengorbankan tiga nyawa termasuk penunggang motosikal Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18.
"Penunggang remaja itu dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar motosikal ditunggang mangsa wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuan," katanya.
Media melaporkan kesan pelanggaran itu mengakibatkan Nor Hasliza maut di tempat kejadian dan bayi dalam kandungannya telah terkeluar daripada rahim.
Bayi lelaki itu meninggal dunia tengah malam Jumaat ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram