Kereta mahu 'pancung' lori punca kemalangan superbike di tol Kundang


  • 112
  • Khamis, 24 Feb 2022

KEADAAN salah sebuah motosikal berkuasa tinggi yang terlibat kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor pada Rabu. — Facebook

DUA penunggang motosikal terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada Rabu.

Nahas berlaku berhampiran Plaza Tol Kundang Barat hala ke Sabak Bernam, kira-kira jam 11.30 pagi, selepas kedua-dua penunggang motosikal terbabit tidak sempat mengelak sebuah kereta yang dikatakan tiba-tiba menukar lorong.

Dua penunggang motosikal, kedua-duanya lelaki berusia 44 dan 32 tahun, cedera dengan seorang daripadanya patah kaki kanan, manakala pemandu kereta cedera ringan pada tangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal serta sebuah lori dan kereta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila sebuah kereta mahu memotong sebuah lori di hadapannya.

"Ketika pemandu kereta mengubah laluan dari lorong kiri ke laluan kanan, dua penunggang motosikal yang berada di belakang cuba mengelak sebelum hilang kawalan dan terlanggar belakang kereta itu.

"Akibat pelanggaran, kereta dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun itu hilang kawalan dan berpusing melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri serta kanan laluan sebelum melanggar lori yang berada di lorong kiri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, kata Azman, pemandu lori berusia 37 tahun tidak cedera.

"Kedua-dua penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.

"Pemandu kereta sudah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada jam 1.26 tengah hari Khamis berkaitan kemalangan itu serta membantu siasatan," katanya.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Gombak, Inspektor Norazlan di talian 019-7974466 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram