Timbalan Ketua MIC Tapah maut nahas kereta terbalik


  • 112
  • Ahad, 23 Jan 2022

KEADAAN kereta dipandu mangsa yang terbabas dalam parit dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Tapah lewat malam Sabtu. — Sinar Harian

SEORANG lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas dalam parit dan terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah, Perak pada lewat malam Sabtu.

Kejadian jam 12.45 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, D Sivabalan, 50, yang beralamat dari Jalan Stesen, Tapah maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, dipercayai kereta mangsa telah melanggar bahagian kanan belakang sebuah MPV jenis Proton Exora yang datang dari arah bertentangan.

"Pelanggaran menyebabkan kereta mangsa terbabas ke dalam parit.

"Mangsa yang parah telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, mangsa yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah.

Mangsa merupakan Timbalan Ketua MIC Tapah. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, maut, lelaki, kereta terbalik, Tapah