1.25 juta maut akibat nahas jalan raya


  • Primer
  • Khamis, 13 Jan 2022

DARI kiri: Mohamed Sabri, Lee, Bakri dan Lokman ketika sesi perbincangan semasa Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan PIAM – MTA) 2022, menerusi talian, pada Khamis.

BERDASARKAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara purata seramai 1.25 juta orang terkorban setiap tahun akibat kemalangan jalan raya, kata Antony Lee.

Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) itu berkata, kemalangan jalan raya juga merupakan punca nombor satu kematian dalam kalangan belia berumur 15 hingga 29 tahun.

"Menjelang 2030, WHO meramalkan bahawa kecederaan akibat lalu lintas jalan raya akan meningkat dan menjadi penyebab kelima kematian, selepas penyakit jantung, penyakit serebrovaskular, penyakit pulmonari kronik dan jangkitan pernafasan. Angka-angka global ini memberi mesej betapa seriusnya perkara itu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan PIAM – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) 2022, menerusi talian, pada Khamis.

Bertemakan #steadybrader, kempen itu diadakan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian, selain memupuk kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Menerusi kempen ini, kedua-dua PIAM dan MTA berharap agar kemalangan jalan raya dan kematian akan dikurangkan dengan ketara di tengah-tengah tumpuan negara memerangi pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, Lee berkata, keselamatan jalan raya memerlukan perhatian segera daripada semua pengguna jalan raya, berikutan ia meragut ribuan nyawa setiap tahun.

Beliau turut menekankan bahawa kemalangan jalan raya kekal tinggi di Malaysia, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Lebih dekat, statistik terkini pada 2019 seperti disediakan PDRM menunjukkan sejumlah 6,167 maut akibat kemalangan jalan raya.

"Ini bermakna, kira-kira 17 kematian setiap hari akibat kemalangan jalan raya. Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, lebih 80 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada kecuaian," katanya.

Sementara itu, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, penyedia perkhidmatan penghantaran (p-hailing) perlu mula bekerjasama dengan pihak berkuasa, bagi membantu menangani isu kesalahan jalan raya membabitkan pekerja sektor tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman itu berkata, sebanyak 20,986 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan dalam operasi besar-besaran dijalankan terhadap pekerja p-hailing pada November tahun lalu.

“Faktor masa adalah cabaran perlu ditangani oleh pekerja p-haling kerana ia melibatkan insentif upah. Disebabkan itu kita harus mengadakan perbincangan besar bersama penyedia p-hailing.

“Jadi dengan itu kita dapat memantau dan menjaga pekerja p-hailing," katanya ketika menjadi panel dalam majlis tersebut.

Turut hadir pada sesi tersebut ialah Pengarah Bahagian Penguat kuasa Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Lokman Jamaan, dan Timbalan Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohamed Sabri Ramli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram