Nahas tiga kereta, dua maut di Pekan


  • 112
  • Ahad, 06 Feb 2022

FOTO kemalangan yang berlaku di Kilometer 36, Jalan Pekan/Nenasi/Rompin berhampiran Tanjung Batu di Pekan, Pahang pada Ahad. — Facebook

SERAMAI dua maut, seorang cedera manakala empat lagi selamat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 36, Jalan Pekan/Nenasi/Rompin berhampiran Tanjung Batu di Pekan, Pahang pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, nahas itu berlaku pada 12.30 tengah hari dan mangsa yang maut dikenali sebagai Chaw Jiun Shyan, 27, dan Zainong Abdullah, 56.

Jun Shyan, pekerja kedai makan yang beralamat di Kota Tinggi, Johor maut di lokasi kejadian manakala Zainong dari Pasir Gudang, Johor disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Nenasi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga yang dipandu Jun Shyan dari arah Rompin menghala ke Pekan terbabas semasa mengambil selekoh menyebabkan ia masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Myvi yang dipandu Zainong,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, dalam insiden itu, kereta Proton Wira dinaiki empat sekeluarga yang berada di belakang Myvi tidak sempat berhenti dan melanggar belakang kereta tersebut.

Ujar Mohd Zaidi, pemandu dan penumpang Proton Wira tidak mengalami kecederaan manakala penumpang kereta yang dipandu Zainong iaitu Yusof Alias, 59, patah kedua-dua tangan serta paha.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 diperoleh dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pahang, maut, polis, kemalangan, terbabas, mayat