Bas tertembung treler di Butterworth, dua parah


  • 112
  • Ahad, 13 Feb 2022

INSIDEN yang dipercayai berlaku pada 7.20 malam itu turut menyebabkan 15 pekerja kilang lelaki warga asing yang dalam perjalanan pulang cedera ringan. — Sinar Harian

PEMANDU bas kilang dan pemandu treler cedera parah selepas kedua-dua kenderaan bertembung dalam nahas berhampiran sebuah kilang di Jalan Perusahaan Perai di Butterworth, Pulau Pinang pada malam Sabtu.

Insiden yang dipercayai berlaku pada 7.20 malam itu turut menyebabkan 15 pekerja kilang lelaki warga asing yang dalam perjalanan pulang cedera ringan.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Fakharurazi Md Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.21 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerah ke lokasi kejadian.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pekerja kilang telah bertembung dengan lori treler dan menyebabkan bas terbalik manakala dua lelaki yang merupakan pemandu kedua-dua kenderaan cedera parah.

"Pemandu bas dan lori treler yang tersepit di bahagian tempat duduk hadapan telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, semua pekerja kilang yang cedera dihantar ke hospital sama untuk pemeriksaan kesihatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram