[VIDEO] ‘Zero ke hero’, dianggap tiada masa depan sering lepak kafe siber, remaja Filipina tenangkan 2 budak ketika gempa bumi


  • Benua
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Remaja tersebut memeluk erat dua kanak-kanak itu ketika gempa bumi kecil melanda Filipina.

BEBERAPA siri gempa bumi dilaporkan melanda beberapa negeri sekitar Filipina sejak Isnin lalu dengan Bandar Cebu menjadi antara kawasan paling terkesan.

Bencana alam tersebut sudah mengorbankan kira-kira 68 nyawa menurut laporan terbaru dengan 559 mangsa difahamkan sedang menerima rawatan di hospital dan zon kecemasan.

Selain itu, gempa bumi tersebut menyaksikan kerugian besar apabila bangunan di negara Asia Tenggara itu runtuh atau mengalami kerosakan, termasuk di kawasan bandar.

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai bertembung kapal sesama sendiri, China usir bot Filipina di Terumbu Scarborough

BACA LAGI: [VIDEO] Berkali-kali dibadai bencana, Filipina dijangka hadapi Taufan Man-yi lepas dilanda siklon Usagi

Beberapa negeri sekitar Filipina mengalami kerosakan teruk akibat bencana alam berkenaan.

Namun, bencana itu tidak menghalang segelintir mangsa untuk membuktikan keberanian membantu orang yang tersayang seperti mana dikongsikan di media sosial sejak kejadian terbabit melanda.

Antara kejadian yang pasti menyentuh hati adalah apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kafe siber menunjukkan seorang remaja melindungi dua kanak-kanak ketika gempa bumi melanda.

Berdasarkan video pendek dikongsikan, remaja berkenaan pada awalnya sedang menggunakan komputer sebelum tiba-tiba kelihatan cemas apabila menyedari gegaran yang berlaku.

Dia kemudian segera memanggil dua kanak-kanak yang duduk berhampirannya sambil memeluk kerana khuatir runtuhan bangunan boleh menyebabkan kecederaan serius mahupun meragut nyawa.

Bagaimanapun, gegaran lemah itu hanya kekal untuk kira-kira 10 saat tanpa sebarang kerosakan teruk berlaku dengan ketiga-tiga mangsa tidak mengalami sebarang insiden tidak diingini.

Rakaman tersebut kemudian dikongsikan di pelbagai platform media sosial, termasuk di akaun Threads Monskie 027 kerana pengguna cukup kagum akan ketenangan remaja berkenaan.

Malah, pemilik akaun mariphosaabines turut hadir menjelaskan insiden tersebut dengan menyatakan keberanian melindungi dua kanak-kanak itu harus dipuji.

"Untuk mereka yang mahukan penjelasan, ia adalah gempa bumi dan kejadian berlaku di sebuah kafe siber kecil. Itu bukanlah anak remaja tersebut dan mungkin hanya mereka yang berasal dari kawasan penempatan berhampiran.

"Selalunya, remaja yang tidak berbaju dan sering meluangkan masa di kafe siber dilabel tidak mempunyai harapan dalam kehidupan yang menjadikan video itu lebih menyentuh hati," tulisnya.

Tiada sebarang perkembangan rasmi berhubung nasib ketiga-tiga individu dalam video sama ada benar-benar terselamat atau sebaliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram