
KERAJAAN negeri Johor memberikan bantuan sebanyak RM3,000 kepada 62 keluarga yang terkesan akibat siri gegaran yang melanda Segamat tempoh hari.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah itu disahkan oleh Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Segamat pada Khamis.
Menurut Onn Hafiz, sebanyak 62 rumah, dua surau dan sembilan bangunan kerajaan mengalami kerosakan kecil akibat gegaran itu
BACA LAGI: Segamat, selatan Pahang bergegar, gempa bumi berulang di pagi Rabu
BACA LAGI: Gempa bumi landa Segamat di awal pagi, penduduk dinasihat jauhi struktur tak kukuh
"Namun, penilaian oleh Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan mengesahkan semua bangunan ini masih selamat untuk digunakan.
"Kami sedar akan beban yang ditanggung oleh keluarga yang rumah mereka terjejas," katanya pada Khamis.
Onn Hafiz berkata yang bantuan tersebut diterima oleh 62 keluarga selepas mereka membuat laporan polis selepas gegaran berlaku.
Dia turut mengatakan yang fasiliti milik Keretapi Tanah Melayu Berhad, Badan Kawalselia Air Negeri Johor, Tenaga Nasional Berhad, Petronas dan Ranhill SAJ Sdn Bhd juga diperiksa semula tahap kerosakannya.
Dalam masa yang sama, Onn Hafiz mengatakan yang pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
"Walaupun Johor bukan negeri berisiko tinggi, ia tetap berdepan cabaran geologi yang perlu diurus secara strategik dan bersepadu.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah melaksanakan intervensi berfasa yang merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Antaranya termasuk mengaktifkan bilik gerakan bencana 24 jam dengan penglibatan Angkatan Pertahanan Awam, polis, bomba, pihak berkuasa tempatan serta kerjasama dengan agensi teknikal lain," ujarnya. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram