TAUFAN Usagi melemah dengan ketara pada Jumaat selepas melanda bandar-bandar utara Filipina sehingga menyebabkan kerosakan pada rumah-rumah warga tempatan di sepanjang laluannya.
Pihak berkuasa kini sedang bersiap sedia bagi menghadapi satu lagi taufan iaitu Man-yi yang dijangka berkemungkinan melanda ibu kota Manila hujung minggu ini.
Usagi, yang dikenali sebagai Ofel bertukar menjadi taufan super ketika ia mendarat di bandar Baggao di wilayah Cagayan pada Khamis petang.
Namun, menurut agensi meteorologi Filipina, Pag-asa, Usagi kini telah melemah dan sedang menuju ke arah Taiwan.
Usagi adalah siklon ke-15 yang melanda Filipina tahun ini.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa sedang bersiap sedia menghadapi Taufan Man-yi yang dijangka boleh melanda kawasan timur dan wilayah ibu kota pada hujung minggu ini apabila ia semakin kuat di Lautan Pasifik barat.
Menurut Pag-asa, Man-yi berpotensi menjadi taufan super seawal Ahad pagi.
Setakat ini, tiada laporan kematian akibat Usagi susulan ribuan keluarga dari kawasan berisiko telah dipindahkan sebelum taufan itu tiba.
Ketua Pejabat Bantuan Bencana Cagayan, Rueli Rapsing menyatakan bahawa pegawai tempatan sedang menilai tahap kerosakan yang disebabkan oleh taufan tersebut.
"Kerosakan kali ini lebih besar dengan lebih banyak rumah yang rosak sebahagian atau sepenuhnya selepas Taufan Marce (Yinxing).
"Buat masa ini, kami sedang bergerak ke lokasi untuk menilai kerosakan," kata Rapsing pada Jumaat.
Evakuasi awal penduduk di kawasan yang dijangka dilanda Taufan Man-yi akan dimulakan pada Jumaat.
Menurut Pag-asa, pusat Man-yi terakhir kali dianggarkan berada 795 kilometer (km) ke timur bandar Guian di wilayah Samar Timur.
Pag-asa juga memberi amaran tentang kemungkinan lonjakan ribut sehingga 3 meter di kawasan pantai wilayah tengah.
Filipina kini menghadapi taufan keenam dalam tempoh sebulan, kebanyakannya melanda pulau utama Luzon.
Sebelum ini, menurut data kerajaan, Taufan Tropika Trami dan Taufan Kong-rey menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh sehingga meragut 162 nyawa dengan 22 lagi masih hilang.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, bulan ini adalah kali pertama empat ribut bergelora di lautan Pasifik Barat secara serentak sejak rekod bermula pada 1951.
Secara purata, Filipina dilanda kira-kira 20 ribut tropika setiap tahun yang sering membawa hujan lebat, angin kencang dan tanah runtuh yang berbahaya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram