
SEBANYAK enam siri gempa bumi melanda Segamat, Johor sejak kali pertama ia berlaku pada 24 Ogos lalu, termasuk yang terjadi pada Sabtu pagi sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Meskipun kejadian tersebut hanya berskala kecil, orang ramai sudah tentu risau akan perkara tersebut kerana bencana alam sebegitu dikhuatiri akan menjadi lebih teruk.
Jadi, sebagai langkah kesiapsiagaan, rata-rata penduduk menyatakan mereka sudah menyediakan pelan kecemasan sendiri bagi mengelak kejadian tidak diingini.
BACA LAGI: Segamat, selatan Pahang bergegar, gempa bumi berulang di pagi Rabu
BACA LAGI: Gempa bumi landa Segamat di awal pagi, penduduk dinasihat jauhi struktur tak kukuh
Pendekatan masing-masing itu dikongsikan di media sosial selepas penduduk terkesan berasa risau sekiranya gempa bumi lebih kuat terjadi pada masa akan datang.
"Saya dah buat pelan kecemasan, kunci rumah diletakkan dalam bilik tidur, topi keledar untuk semua ahli keluarga di tepi katil. Lampu suluh sudah diletakkan bateri baharu, makanan segera sudah disiapkan dan anak-anak diberikan penerangan jika kejadian berlaku di sekolah," kata Azha Aziz.
"Saya sudah beli dan menyusun makanan, air, ubat, beg plastik sampah, tali, plaster pelbagai saiz, minyak-minyak urut dan sepasang persalinan untuk setiap ahli keluarga.
"Semuanya saya sudah masukkan beg galas dan diletakkan di tepi pintu keluar, setiap ahli keluarga ada satu beg. Saya rasa lebih tenang apabila sudah buat persediaan walaupun tak sebanyak mana. Semoga ALLAH melindungi kita semua dari bencana," kata Areenz Sulaiman.
Antara barangan kecemasan yang diperlukan sekiranya berlaku sebarang bentuk bencana alam. — Gambar hiasan
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Pegawai Daerah Segamat, gempa bumi yang melanda daerah itu pada Sabtu adalah berukuran 2.7 magnitud kira-kira pukul 7.29 pagi.
Tiada laporan kecederaan mahupun kerugian harta benda dilaporkan, namun sebanyak lima bangunan kerajaan difahamkan mengalami keretakan kecil akibat gegaran berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitahkan agar semua masjid dan surau di Johor dapat melaksanakan solat hajat serta doa selamat agar negeri tersebut serta seluruh Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan titah berkenan memohon perlindungan ALLAH agar sentiasa melindungi rakyat daripada sebarang musibah dan bencana susulan gegaran berkenaan," tulis Baginda menerusi satu kenyataan di Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram