
KEKECOHAN tercetus dalam saingan bola sepak divisyen tiga Colombia apabila pemain Real Alianza Cataquera, Javier Bolivar bertindak agresif dengan menyerang pengadil wanita, Vanessa Ceballos dalam aksi menentang Deportivo Quique baru-baru ini.
Insiden itu berlaku pada minit ke-66 apabila Vanessa mahu melayangkan kad merah ke atas Javier, namun pemain terbabit tiba-tiba meluru dari bangku simpanan ke garisan padang lalu cuba merampas wisel dan menampar muka Vanessa.
Tindakannya mencetuskan kekecohan apabila Vanessa menendang Javier sebagai tindak balas sebelum pegawai perlawanan lain bertindak meleraikan situasi tegang tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya gembira harumkan nama Malaysia', Miki Ghazali tumbangkan lawan lebih tua 16 tahun
Rakaman insiden berkenaan menjadi tular di media sosial, sekali gus mengundang kecaman ramai sehingga memaksa Real Alianza menggugurkan Bolivar daripada pasukan serta menuntut hukuman berat dikenakan terhadapnya.
Female referee in Colombia Vanessa Ceballos slapped by player who received red card pic.twitter.com/wBR7LjzfvD
— FFS (@officialffsnews) September 3, 2025
Javier dalam satu kenyataan mengakui kesilapannya, menegaskan dia tidak berniat memukul pengadil terbabit.
“Saya mengakui tindakan saya sangat tidak wajar. Saya tidak pernah berniat mencederakannya tetapi saya sedar perbuatan ini memberi mesej buruk.
"Saya memohon maaf kepada Vanessa, keluarga dan semua pihak yang terkesan,” katanya.
Kelab Real Alianza dalam satu kenyataan rasmi mengecam keras tindakan pemain itu sambil menegaskan keganasan tidak seharusnya wujud dalam sukan.
“Perbuatan itu tidak mencerminkan nilai kelab. Kami menggugurkan pemain tersebut bagi menunjukkan komitmen kami terhadap disiplin dan semangat kesukanan.
"Bola sepak mesti menjadi medan keamanan dan teladan kepada semua,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden Liga Bola Sepak Magdalena, Roxana Arrieta Cruz berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan, terutama melibatkan wanita.
“Kami tidak menerima sebarang bentuk keganasan lisan atau fizikal terhadap wanita.
"Bola sepak mesti menjadi ruang kompetitif yang berlandaskan rasa hormat terhadap semua,” tegasnya.
Vanessa, pengadil FIFA berpengalaman yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan pengadil wanita pertama mengadili perlawanan lelaki profesional di Colombia empat tahun lalu, dijangka menerima sokongan penuh daripada badan bola sepak negara itu bagi menegakkan integriti pengadil. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram