
SATU rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia empat atau lima tahun dalam keadaan diikat kain sehingga tidak mampu menggerakkan tangannya, mencetuskan kekecohan serta perdebatan hangat di media sosial.
Video berdurasi 23 saat itu dimuat naik pengguna Facebook, Halim Mohammad, dan kini tular dengan lebih 800,000 tontonan, 21,700 tanda suka, 1,300 komen serta 2,100 perkongsian.
Difahamkan kejadian itu berlaku di Kuala Berang, Terengganu pada Rabu minggu lalu.
Menerusi rakaman berkenaan, kanak-kanak berkaki ayam itu berdiri kaku sambil diperhatikan orang ramai. Tangannya diikat kemas dengan kain, namun kakinya masih bebas bergerak sedikit.
Beberapa individu kedengaran menyoal si kecil itu, namun dia hanya membisu sebelum seorang lelaki mencadangkan agar dia dibawa ke balai polis.
Tindakan orang sekeliling yang sekadar memerhati tanpa cuba melepaskan ikatan turut mengundang kemarahan netizen.
“Apa guna tengok ramai-ramai? Buka saja ikatan tu!” tegas pengguna Facebook, Chik Nor.
Namun ada juga yang mempertahankan sikap berhati-hati orang awam, dengan alasan bimbang ia membabitkan kes jenayah.
“Mungkin mereka tak berani sebab takut rosakkan bahan bukti, lebih baik serah pada polis,” balas Pak Kyo.
Isu itu turut mengundang pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa kanak-kanak berkenaan mungkin menghidap autisme.
“Kalau saya tak silap, mungkin dia autism, suka masukkan benda dalam mulut. Mungkin sebab itu diikat, tapi tetap ada cara lain,” kata Asnah Ahmad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab mengesahkan kejadian terbabit.
"Kanak-kanak itu dibawa seorang orang awam ke Balai Polis Kuala Berang kira-kira pukul 8.45 pagi dalam keadaan berpakaian PPDK dan tangannya terikat dengan kain.
"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan adalah anak istimewa (autistik) yang mengalami masalah pembelajaran serta kerap mengutip dan memasukkan benda ke dalam mulut, selain suka mengais badan hingga mencederakan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau lagi, pihak PPDK menggunakan kaedah terapi dengan mengikat tangan bersama badan bagi melatih kanak-kanak terbabit duduk diam ketika makan, selain langkah itu telah mendapat persetujuan ibu bapanya.
Menurutnya, semasa kejadian, seorang kanak-kanak lain dipercayai membuka pintu tanpa disedari sehingga membolehkan mangsa keluar menuju ke jalan utama.
"Ibu kanak-kanak tersebut turut mengesahkan anaknya menerima rawatan harian di PPDK Kuala Berang serta bersetuju dengan kaedah terapi dijalankan.
"Tiada unsur jenayah berlaku dalam kejadian tersebut dan ibu kanak-kanak terbabit juga sudah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan tidak benar yang tular di media sosial," katanya.
Sharudin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau video kanak-kanak berkenaan kerana boleh menjejaskan maruah keluarga dan institusi yang terbabit.
Katanya, polis akan terus memantau isu itu selain mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram