
SAKSI keenam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina mendedahkan semua telefon awam di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha dekat Papar, Sabah ditutup selama 48 jam atas arahan ketua warden selepas insiden membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Memetik laporan Kosmo!, Linah Mansoding @ Jaliha, pengawal keselamatan yang sudah berkhidmat 13 tahun di sekolah itu, memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Rabu tindakan tersebut diambil susulan insiden pelajar berusia 14 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Menurut Linah, langkah menutup telefon dibuat kerana pelajar terlalu kerap menghubungi ibu bapa mereka selepas kejadian.
BACA LAGI: Punca sebenar kematian Zara Qairina, pakar patologi serah keputusan kepada mahkamah
“Macam telefon awam pun ada kena tutup selama dua hari dua malam. Sebab budak-budak banyak telefon ibu bapa,” katanya ketika disoal peguam keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri, pada hari kelima prosiding inkues.
Shahlan kemudian bertanya mengenai jumlah kemudahan komunikasi itu sebelum saksi memaklumkan terdapat tiga telefon awam di blok A dan tiga lagi di blok B asrama.
Menjawab pertanyaan lanjut, Linah berkata, semua suis telefon berkenaan dimatikan selepas menerima arahan ketua warden.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina masih diteruskan bagi menentukan punca sebenar kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram