
DILEMA pemilik rumah berdepan dengan ‘penyewa dari neraka’ bukanlah isu baharu, namun tetap menjadi mimpi ngeri apabila ada penyewa yang enggan menepati janji, malah memperlekehkan tuan rumah sendiri.
Itulah pengalaman pahit seorang pempengaruh media sosial, Mohd Shafiq Zulkarnain atau lebih dikenali dengan nama Shafiqcute, yang mendakwa penyewanya mungkir janji untuk mengosongkan pangsapuri miliknya pada 31 Ogos lalu walaupun diberikan tempoh secukupnya.
Menurutnya, penyewa berkenaan bukan sahaja berdegil, malah menggunakan orang tengah untuk merayu sambungan tempoh hingga hujung September untuk tinggal menyewa di rumahnya yang berlokasi di Bukit Jalil, Selangor.
Situasi itu memaksa Mohd Shafiq membuat laporan polis dan memohon perintah mahkamah.
“Dia pernah memperlekehkan kami, malah mendakwa tidak takut jika isu ini diviralkan.
"Kami akhirnya terpaksa memotong mangga rumah, menggantikan kunci baharu dan menutup bekalan air bagi memaksa dia bersemuka,” katanya melalui satu perkongsian di Facebook miliknya pada Isnin.
Namun, pada 4 September, penyewa berkenaan gagal memasuki rumah selepas pintu dikunci semula dan merayu melalui orang tengah untuk dibenarkan mengambil barang.
Setelah dipujuk isteri, Shafiqcute akhirnya akur dan membuka pintu keesokan harinya.
Katanya, dia pada mulanya percaya masalah akan selesai selepas aplikasi apartmen menunjukkan penyewa menempah lori pindah pada 6 September.
Namun, lori tersebut hanya berada kira-kira setengah jam sebelum keluar, sekali gus menimbulkan syak wasangka.
Keadaan bertambah tegang apabila pada malam sama Mohd Shafiq menerima panggilan telefon daripada balai polis memaklumkan penyewa membuat laporan kononnya rumah dikunci hingga menyukarkan proses mengemas.
"Pihak polis kata penyewa sekarang berada di balai dan nak report pasal kami mengunci rumah. Dia tak boleh masuk nak ambil dan pack barang dia.
"Apalagi mengamuklah saya. Suara yang mulanya perlahan naik tinggi kelangit sampai isteri dan anak saya terjaga dari tidur. Memang tak boleh bersabar dah ini.
"Penyewa neraka ini telah menipu polis dengan mengatakan kami telah kunci pintu padahal kami telah buka kunci seperti yang dia mintak," katanya.
Jelas Mohd Shafiq lagi, dia sudah benarkan dia masuk dua hari sebelumnya.
"Dia cuba perdaya polis, tapi selepas saya jelaskan perkara sebenar, pihak polis akhirnya menghantar dua anggota untuk mengiringinya mengosongkan rumah pada malam itu juga,” katanya.
Mohd Shafiq berkata, anggota polis sendiri terkejut melihat keadaan rumah yang masih penuh dengan barangan.
Malah, dua anggota polis berkenaan terpaksa bertungkus-lumus membantu mengeluarkan semua barang ke koridor sehingga hampir pukul 1 pagi.
"Saya nak datang ke sana untuk membantu, tetapi polis tak benarkan kami datang dan biar mereka yang selesaikan.
"Mungkin tak nak perang mulut berlaku kot, dah la nak dekat pukul 1 pagi, ganggu jiran-jiran nanti bila berlaku kekecohan.
"Tak lama selepas itu, anggota polis tersebut telah update melalui WhatsApp bergambar yang barang-barang dia telah selesai diletakkan di koridor," ceritanya lagi.
Namun di sebalik Mohd Shafiq masih lagi risau dengan keadaan rumahnya kerena perkara tersebut masih lagi belum selesai sepenuhnya.
"Malam (Isnin) tu tak dapat nak tidur bila memikirkan macam mana la keadaan dalam rumah. Tak sabar nak tunggu esok paginya," katanya.
Setakat berita ini ditulis Mohd Shafiq belum lagi berkongsi keadaan terkini rumahnya selepas ditinggalkan penyewa terbabit — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram