[VIDEO] Menyesal tak berguna, lelaki Indonesia tergamak kerat kekasih, seminggu tinggal bersama jasad


  • Benua
  • Selasa, 09 Sep 2025

Alvi Maulana tergamak tinggal bersama mayat teman wanitanya, Tiara (gambar kecil) yang sudah dikerat selama hampir seminggu sebelum ditahan polis di sebuah bilik sewa di Mojokerto, Indonesia baru-baru ini. — Agensi

SEORANG lelaki tergamak tinggal bersama mayat teman wanitanya yang sudah dikerat selama hampir seminggu sebelum ditahan polis di sebuah bilik sewa di Mojokerto, Indonesia baru-baru ini.

Suspek, Alvi Maulana, 24, bukan sahaja membunuh tetapi turut mengerat tubuh Tiara Angelina Saraswati, 25, kepada ratusan bahagian.

Lebih mengerikan, beberapa potongan tubuh disimpan dalam almari, manakala ratusan tulang mangsa yang dicincang pula dibuang ke dalam tong sampah.

BACA LAGI: [VIDEO] Rumah Ahmad Sahroni diserang, patung Iron Man bernilai RM100,000 antara barang 'dirampas' rakyat Indonesia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ingatkan sampah, rupanya dadah', pekerja terkejut jumpa bungkusan ganja mampat di Kuala Sungai Padang

Ketua Polis Daerah Mojokerto, Asisten Komisioner Ihram Kustarto berkata, sebahagian jasad juga ditemukan di dalam bilik sewa berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan.

“Suspek tinggal di bilik sama sejak kejadian dan berkelakuan seperti biasa sehingga kami berjaya menahannya,” katanya pada sidang media media Indonesia pada Isnin.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemukan bau busuk menyengat, selain kesan darah di lantai, bantal serta yang berlumuran darah.

[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]

Kes terbongkar selepas seorang penduduk tempatan menemui potongan kaki, Tiara ketika mencari rumput pada 6 September lalu. — Agensi

Difahamkan, tragedi itu bermula pada malam 30 Ogos lalu apabila suspek pulang lewat selepas menghantar adiknya ke sebuah pondok pengajian.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan mangsa yang mengunci pintu bilik sewa dari dalam.

Selepas lebih sejam menunggu, pintu dibuka namun pertengkaran berlanjutan sehingga Alvi naik berang lalu menikam leher kanan Tiara menggunakan pisau dapur pada awal pagi 31 Ogos.

Mayat mangsa kemudian dikerat di bilik mandi menggunakan pisau daging, gunting dahan dan tukul sehingga menghasilkan 65 potongan daging serta organ, 247 potongan tulang dan 22 batang gigi.

Potongan daging dibuang di kawasan Pacet-Cangar, Mojokerto, manakala sebahagian tulang disorok di dalam beg plastik hitam dalam almari.

Malah, ada juga tulang belakang, tangan dan kaki yang ditanam di hadapan rumah sewa itu.

Kes terbongkar selepas seorang penduduk tempatan menemui potongan kaki ketika mencari rumput pada 6 September lalu.

Penemuan itu membawa kepada penemuan potongan tapak tangan dan seterusnya pengesahan identiti mangsa dengan bantuan anjing pengesan.

Suspek ditahan polis di bilik sewanya pada awal pagi 7 September ketika sedang bersantai dan pemeriksaan lanjut menemukan lagi beberapa bahagian tubuh mangsa yang masih disimpan.

Sementara itu, menurut laporan media antarabangsa, suspek dilaporkan menzahirkan rasa kesal terhadap perbuatannya yang meragut nyawa Tiara dan turut menyatakan penyesalan kerana gagal mengawal emosi hingga mengakibatkan tragedi berdarah itu berlaku.

Dalam kenyataan sama, Alvi turut memohon maaf kepada keluarga mangsa, namun pihak berkuasa menegaskan siasatan terperinci tetap diteruskan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Alvi kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Mojokerto dan bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat serta Seksyen 338 kerana membunuh tanpa niat, yang membawa hukuman mati. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram