
SEORANG penuntut universiti dalam jurusan kriminologi di Filipina meninggal dunia selepas dilanggar penunggang mabuk ketika sedang cuba dibawa ke hospital bagi menerima rawatan pada Ahad lepas.
Mangsa, Froilan Panagsagan pada awalnya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sudapin, Kidapawan City bersama pembonceng wanita selepas cuba melanggar seekor anjing yang melintas.
Bagaimanapun, ketika sedang dibantu anggota perubatan, penuntut universiti berusia 22 tahun itu berserta dua petugas dilanggar pengguna jalan raya lain yang menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.
BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang mabuk dibawa lari, tak sampai balai lepas sondol kereta orang di Serendah
BACA LAGI: [VIDEO] Polis AS tahan pemandu rempuh 2 penunggang basikal sampai terperosok bawah kereta
Froilan serta dua anggota itu kemudiannya dikejarkan ke hospital, namun kecederaan akibat pelanggaran itu membuatkan pelajar berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Keadaan dua petugas yang turut menjadi mangsa rempuhan itu belum dapat dipastikan dengan penunggang mabuk tersebut, Carlos Guabong Jr sudah ditahan.
Menurut suspek, dia tidak menyedari situasi tersebut dengan beranggapan lampu daripada ambulans dan orang ramai di lokasi kejadian hanya gerai yang didirikan di bahu jalan.
Dia juga mengakui menunggang motosikal dalam keadaan mabuk dan memohon maaf terhadap kesemua mangsa atas kesilapan dan kecuaian ketika berada di atas jalan raya.
Froilan yang menuntut dalam jurusan kriminologi disahkan meninggal dunia di hospital.
Ketua Polis Kidapawan City, Dominador Palgan Jr berkata, pihaknya sedang memfailkan pertuduhan terhadap Carlos kerana kecuaiannya menyebabkan kematian Froilan serta kecederaan terhadap dua petugas perubatan.
Dia juga mengarahkan pemilik anjing tersebut untuk meletakkan haiwan berkenaan dalam kurungan bagi mengelakkan insiden sedemikian berlaku pada masa akan datang.
Kesalahan memandu atau menunggang motosikal dalam keadaan mabuk merupakan kesalahan berat di Filipina mengikut Akta Republik No 10586 dan peraturan jalan raya di negara itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram