[VIDEO] Polis siasat laporan pelajar UiTM Dengkil berpakaian mirip KKK


  • 112
  • Rabu, 16 Apr 2025

UiTM pada Selasa menjelaskan bahawa kostum KKK yang digunakan adalah sebahagian daripada tugasan untuk memupuk pemikiran kritikal dan meningkatkan kesedaran mengenai isu hak asasi manusia. — Facebook/OrangAwam

POLIS mengesahkan satu laporan polis dibuat berhubung video tular memaparkan sekumpulan individu dipercayai pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dengkil dekat Sepang, Selangor yang mengenakan jubah mirip Ku Klux Klan (KKK) baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, laporan itu dibuat seorang lelaki sekitar pukul 7.24 petang Selasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Katanya, laporan itu memaklumkan terdapat satu video yang dikatakan berkaitan diskriminasi kaum ekoran video yang dimuat naik oleh salah seorang pelajar UiTM Dengkil itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai ke negara jiran buat hal, rider dirakam langgar lampu isyarat merah di Thailand

BACA LAGI: [VIDEO] Langgar mati rider di JB: Pemandu BMW mengaku tak salah bawa kereta mabuk, pamer no plat palsu

"Video tersebut dipercayai hasil daripada tugasan pelajar UiTM bagi subjek 'Contemporary Global and Legal Issues' yang mana tugasan yang dibuat adalah berkaitan Kalu Klux Klan (KKK).

"Dalam paparan video itu juga, terdapat lakonan semula apa yang berlaku suatu masa dahulu di mana orang kulit putih membunuh orang kulit hitam.

"Sehubungan itu, tercetusnya KKK ini, maka satu undang-undang baru bagi menghalang diskriminasi kaum telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

 

 

 

Jelas beliau lagi, pihaknya masih menyiasat kes itu dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh membawa kegusaran awam.

Terdahulu, UiTM pada Selasa menjelaskan bahawa kostum KKK yang digunakan adalah sebahagian daripada tugasan untuk memupuk pemikiran kritikal dan meningkatkan kesedaran mengenai isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Universiti itu memaklumkan bahawa para pelajar memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berdasarkan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang telah berlaku di beberapa negara.

"Kostum dan elemen visual yang digunakan bertujuan untuk membantu meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberikan gambaran yang lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global," menurut kenyataan tersebut.

Pihak universiti turut menegaskan bahawa pensyarah dan fakulti memastikan pembentangan dijalankan dalam keadaan terkawal dan berasaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sensitiviti berkaitan agama, budaya atau kaum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram