
NAIB Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa pembukaan pawagam atau panggung wayang di Kelantan bukan satu keutamaan kerana rakyat negeri itu masih berpeluang menonton filem di negeri jiran seperti Terengganu mahupun di ibu negara, Kuala Lumpur.
“Rakyat Kelantan sendiri tidak melihat pawagam sebagai satu keperluan mendesak. Bagi yang berhajat, ada yang ke Terengganu seisi keluarga.
“Ada juga yang terus terbang ke Kuala Lumpur, ke pawagam bertaraf premium atau lounge mewah. Itu bukan perkara luar biasa. Sama seperti mereka yang melancong ke Thailand untuk membeli-belah, bercuti atau menikmati makanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.
BACA LAGI: Kena tetak sebelum dibakar dalam panggung wayang di Alor Setar
BACA LAGI: [VIDEO] Mabuk rupanya punca pasangan kekasih mengamuk baling arak, buat bising masa tengok wayang
Jelas beliau, isu pawagam menjadi bualan ramai selepas filem Mat Kilau menjadi fenomena seluruh negara, sekali gus menyebabkan segelintir hadir pihak memainkan sentimen penduduk di negeri itu dinafikan peluang menontonnya.
Perkara tersebut hangat diperkatakan di media sosial memandangkan tarikh ditayangkan di panggung wayang adalah hampir dengan pilihan raya umum dengan ia dijadikan sentimen terhadap kerajaan negeri.
“Jika benar ada hasrat untuk melihat industri filem berkembang, tumpuannya sepatutnya diberikan kepada usaha menggandakan penghasilan filem yang berkualiti, patuh syariah dan sarat dengan nilai. Filem seperti Mat Kilau tidak seharusnya muncul sekali-sekala dalam tempoh dua tiga tahun.
“Kita perlu isi layar dengan karya berterusan, yang membina budaya dan mendidik masyarakat. Barulah pawagam, jika wujud sekalipun, menjadi tempat yang menyuburkan kefahaman – bukan sekadar hiburan kosong,” katanya.
Kepelbagaian pilihan dalam pelantar OTT memberi peluang buat rakyat Kelantan untuk terus berhibur.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor tersebut menegaskan panggung wayang bukan ukuran mutlak kepada kemajuan sesebuah negeri, apatah lagi dalam era digital dengan kewujudan pelantar penstriman atas talian (OTT) yang memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Tambah beliau, pendekatan Kelantan dalam isu hiburan bukan keputusan tergesa-gesa atau bersifat populis, sebaliknya melalui proses perbincangan panjang sejak era kepimpinan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kita hanya ingin pastikan, apa jua bentuk hiburan yang dibawa, tidak merosakkan jiwa, tidak melalaikan masyarakat, dan sentiasa dalam lingkungan nilai yang kita junjung bersama," tulis beliau lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram