
SEORANG wanita Thailand didakwa bersalin di tepi jalan di Bangkok sebelum meninggalkan bayi tersebut yang baru dilahirkan sehingga mati untuk menyertai rakan-rakannya meraikan festival Songkran.
Rakaman video mengejutkan mengenai kejadian itu, dimuat naik di Facebook pada 17 April yang dipercayai menunjukkan detik-detik wanita terbabit bersalin di tepi jalan.
Dalam klip berkenaan, wanita tersebut dilihat menyelak kain pakaiannya ke atas dan didapati seperti berada dalam kesakitan.
Dia kemudian mencangkung dan bersandar pada kereta yang diparkir di lokasi dan kemudiannya meninggalkan sesuatu di belakang pasu sebelum perlahan-lahan beredar dalam keadaan terhincut-hincut.
Menerusi rakaman berdurasi enam minit itu, sekumpulan orang yang melihat dapat dilihat melihat ke kawasan yang sama, di mana bayi yang baru lahir itu dilaporkan ditemui.
Bagaimanapun, pasukan paramedik ambulans dilihat tiba tidak lama kemudian.
Media tempatan iaitu The Thaiger dan laman Facebook berita Thai เจ๊ม้อย v+ (Jmoi v+) turut berkongsi foto bayi yang meninggal dan wanita itu bersama satu laporan ringkas pada 16 April.
Dalam satu lagi video dimuat naik di Facebook, wanita dipercayai ibu kepada bayi malang itu dilihat duduk berdekatan lokasi ketika sekumpulan individu berkumpul di sekitar tempat kejadian.
Pada masa sama, kawasan di mana bayi terbabit didakwa ditinggalkan mempunyai darah di dinding dan pasu tumbuhan berdekatan.
Wanita itu, yang kemudian dikenali sebagai Piyathida, dilaporkan dilihat menyimbah air di tempat kejadian bersama rakan-rakannya sambil kakinya kelihatan berdarah.
Foto memaparkan jasad bayi terbabit yang sudah meninggal dunia ditinggalkan di tepi jalan dalam kejadian tersebut. — Agensi
Ketika disoal orang ramai, dia mendakwa mengalami pendarahan dan menafikan dirinya melahirkan anak.
Pada masa itu, Piyathida juga dilaporkan dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun, apabila keadaannya semakin teruk akibat pendarahan yang banyak, dia akhirnya mengaku bersalin dan dikejarkan ke Hospital Prachathipat.
Walaupun bayi itu ditemui dalam keadaan hidup dan usaha pemulihan telah dilakukan, ia akhirnya meninggal dunia.
Sementara itu, Superintendan Phuwadon Aoonpho dari Balai Polis Don Mueang mengenal pasti wanita itu sebagai Piyathida dan berusia 27 tahun.
Beliau mengesahkan bahawa pihak berkuasa masih belum dapat menyoalnya secara rasmi, kerana suspek masih dirawat di hospital akibat kehilangan darah banyak.
Phuwadon memberi jaminan kepada orang ramai bahawa dia akan melakukan siasatan dengan telus.
Piyathida dikatakan mempunyai dua lagi anak, masing-masing daripada dua bekas suami yang berbeza.
Kedua-dua anak itu kini berada di bawah jagaan saudara mara daripada keluarga bapa masing-masing.
Difahamkan, keluarga wanita terbabit juga sudah memutuskan hubungan dengannya.
Rakan Piyathida, Am, yang ditemu bual Channel 3 mengakui kesal atas insiden tersebut dan menyatakan tidak akan lagi berkawan dengan wanita tersebut.
Tangkap layar video memaparkan wanita berkenaan (bulatan putih) yang berada di lokasi ketika waktu kejadian. — Agensi
Am, yang pernah tinggal bersama wanita itu berkata, dia bar sahaja mengenali Piyathida selepas berpindah sebelum masuk musim perayaan Songkran dengan dia turut dijemput untuk menyertai perayaan berkenaan.
Dia juga mengesyaki bahawa Piyathida mungkin hamil tetapi wanita terbabit dilaporkan menafikannya dan mendakwa hanya mengalami kenaikan berat badan.
Am mendedahkan bahawa Piyathida tinggal bersendirian di Thailand, kerana ibunya berpindah ke luar negara selepas berkahwin semula dengan lelaki Jerman.
Dengan tanpa sebarang pekerjaan, ibu Piyathida menurut Am akan menghantarnya wang sebanyak 700 baht (sekitar RM95) setiap hari.
Am juga menambah bahawa ahli keluarga dan saudara mara lain wanita itu telah memutuskan hubungan dengan Piyathida kerana kelakuannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram