[VIDEO] Pak guard terpaksa tembak kaki lelaki agresif acu senjata tajam di Banting


  • Tular
  • Sabtu, 19 Apr 2025

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki yang bertindak agresif di Banting, Selangor pada Jumaat.

ORANG awam berdepan detik cemas apabila seorang lelaki bertindak agresif di sebuah restoran di Banting, Selangor pada Jumaat.

Menerusi video tular di media sosial, lelaki terbabit dikatakan cuba membuat serangan rawak menggunakan senjata tajam.

Beberapa orang awam juga kelihatan cuba mengawal keadaan sebelum seorang pengawal keselamatan membuat keputusan melepaskan satu das tembakan pada kaki individu tersebut. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dia langgar, dia marah', pemandu warga asing didakwa mabuk punca 2 maut di Bintulu

BACA LAGI: [VIDEO] Bala bergurau tak jumpa arah kiblat di Makkah, 'influencer' Indonesia terus jatuh sakit ketika tunai umrah

Bagaimanapun, punca kejadian masih tidak dapat dikenal pasti.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian. 

Rata-rata warganet turut menyuarakan kebimbangan dan menyokong keputusan pengawal keselamatan itu. 

"Daripada menanggung masalah lain. Andai abang tak lepaskan tembakan, kawan itu kena tikam pula," komen Wan Kedah.

"Terbaik pengawal keselamatan, tembak kaki sekadar mencederakan di kaki," kata Zulkifli Bakar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi memaklumkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Katanya, seorang lelaki tempatan membuat laporan polis pada pukul 12.05 tengah hari memaklumkan adik lelakinya mengamuk di rumah.

Susulan daripada itu, anggota kereta peronda dikerahkan ke lokasi bagi membawa suspek ke Hospital Banting bagi rawatan.

“Pada pukul 3.31 petang, polis menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki mengamuk dan bertindak mengacukan parang ke arah pegawai perubatan di sebuah restoran di Banting.

“Selain itu, pengadu memaklumkan ada tembakan dilepaskan ke arah lelaki berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Akmalrizal menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram