Juara tinju, pemain bola sepak Palestin antara yang maut susulan serangan Zionis


  • Benua
  • Selasa, 01 Jul 2025

Abu Amireh dan Musleh (gambar kecil) antara yang terkorban dalam serangan tersebut.

MESKIPUN konflik antara Iran dan rejim Zionis sudah reda, orang ramai perlu mengetahui bahawa serangan negara haram tersebut ke atas rakyat Palestin masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Tindakan keji Israel itu sememangnya perlu dikutuk kerana mereka mensasarkan individu tidak bersalah, termasuk dalam golongan wanita dan kanak-kanak dengan angka korban kini sudah mencecah puluhan ribu.

Malah, dalam satu serangan pada Isnin, rejim Zionis dengan sengaja meletupkan sebuah kafe sekitar persisiran pantai Gaza yang sering dikunjungi aktivis, wartawan serta penduduk setempat.

BACA LAGI: [VIDEO] Wartawan wanita Palestin maut serangan udara Israel, sehari selepas karya terpilih Festival Filem Cannes

BACA LAGI: Derita anak Palestin kudung tangan akibat perang dipilih foto terbaik World Press Photo 2025

Serangan tersebut menyasarkan sebuah kafe yang terletak di persisiran pantai Gaza. — Agensi

Pengeboman itu menyaksikan seramai 27 mangsa meninggal dunia dengan pasukan penyelamat mengeluarkan mereka dari lokasi serangan seperti mana dilaporkan agensi media antarabangsa.

Antara yang terkorban merupakan seorang pemain bola sepak, Mustafa Abu Amireh dan juara tinju, Malak Musleh dengan perkara itu disahkan Jawatankuasa Olimpik Palestin.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Abu Amireh pernah beraksi buat beberapa pasukan seperti Al-Sadaka, Al-Shati' dan Al-Zeitoun sementara Musleh merupakan ahli mempertahankan diri yang sedang meningkat naik di pentas antarabangsa.

"Kedua-duanya terkorban dalam serangan ke atas Kafe Al-Baqa' sekitar pantai Gaza apabila sebuah peluru berpandu dilancarkan ke arah mereka. Serangan itu membunuh impian dan kegembiraan dirasai setiap kali menceburi dunia sukan.

Malak menceburkan diri dalam sukan tinju seawal usia 15 tahun. — Agensi

"Mereka mendalami dunia tersebut untuk membebaskan diri dari kegelapan yang tidak pernah hilang. Namun, mereka terkorban bersama puluhan individu lain yang tidak bersalah dalam satu kejadian tidak boleh disaksikan," tulisnya.

Sejak serangan dilancarkan rejim Zionis ke atas Palestin pada Oktober 2023, seramai 438 pemain bola didaftarkan terkorban dengan rata-rata menjadi sasaran semasa berada di Gaza.

Persatuan Bola Sepak Palestin turut mengesahkan sebanyak 288 pusat sukan sudah roboh atau musnah akibat tindakan keji negara haram Israel yang bertujuan menjatuhkan masa depan mereka.

Malak sebelum ini menceburi sukan mempertahankan diri seawal usia 15 tahun atau pada 2019, namun dia bersama atlet lain terpaksa berlatih di pantai kerana kekurangan kelengkapan.

Bagaimanapun, setiap kesukaran dihadapi tidak mematahkan usaha dan cita-citanya untuk membawa nama Palestin ke mata dunia, tetapi serangan itu sekali gus memadam harapannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram