Derita anak Palestin kudung tangan akibat perang dipilih foto terbaik World Press Photo 2025


  • Benua
  • Ahad, 20 Apr 2025

Gambar Mahmourd dibidik oleh Samar yang merupakan jurugambar dari Gaza. — Agensi 

FOTO memaparkan seorang kanak-kanak mangsa perang di Palestin yang kehilangan kedua-dua belah tangan dipilih sebagai foto tahunan terbaik bagi World Press Photo 2025.

Gambar Mahmourd Ajjour, 9, dibidik oleh jurugambar dari Gaza, Samar Abu Elouf untuk The New York Times

"Salah satu perkara yang paling sukar dijelaskan ibu Mahmoud kepada saya ialah bagaimana apabila Mahmoud mula menyedari bahawa lengannya dipotong.

"'Ayat pertama yang dia katakan kepadanya iala', 'Bagaimana saya boleh memeluk kamu?'" ujar Samar yang kini sudah berpindah ke Qatar seperti dipetik daripada kenyataan World Press Photo.

BACA LAGI: Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora

BACA LAGI: Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian

Juri berkata, pemaparan foto kanak-kanak daripada Palestin itu menunjukkan secara visual kesan jangka panjang perang, kebungkaman masyarakat yang membenarkan keganasan, dan peranan kewartawanan dalam mendedahkan realiti tersebut.

"Tanpa menjauhkan diri daripada kesan fizikal perang, foto itu mendekati konflik dan isu ketiadaan ibu pertiwi dari sudut manusia, memberi penerangan tentang trauma fizikal dan psikologi terpaksa dialami orang awam, yang akan terus bertahan melalui pembunuhan dan peperangan berskala besar.

Foto Mahmoud yang dipilih sebagai gambar tahunan terbaik World Press Photo 2025 kerana impak yang dibawanya dalam mendedah realiti impak peperangan terhadap orang awam termasuk kanak-kanak. — Agensi 

"Juri mendapati potret ini, dengan komposisi yang kuat dan perhatian kepada cahaya, sebagai kontemplatif, mencetuskan persoalan tentang pengalaman bakal dihadapi kanak-kanak lelaki yang cedera ini tentang penyahmanusiaan terhadap sesebuah wilayah, dan tentang penyasaran tanpa henti terhadap wartawan di Gaza di samping penafian berterusan akses kepada wartawan antarabangsa yang ingin mendedahkan realiti perang ini," kata juri.

Ketika keluarganya melarikan diri daripada serangan Israel, Mahmoud dilaporkan berpatah balik untuk menggesa orang lain turut serta menyelamat diri.

Bagaimanapun, satu letupan yang berlaku menyebabkan sebelah tangannya terputus dan mencacatkan satu lagi tangannya yang lain.

"Ini adalah foto sunyi yang cukup lantang," kata Pengarah Eksekutif World Press Photo, Joumana El Zein Khoury.

"Ia mengisahkan tentang seorang budak lelaki dan juga tentang peperangan secara lebih luas yang akan memberi kesan kepada pelbagai generasi."

Dua finalis dipilih sebagai naib juara dalam World Press Photo 2025 adalah Night Crossing oleh John Moore untuk Getty Images and Drroughts in the Amazon oleh Musuk Nolte untuk Panos Pictures, Bertha Foundation.

Konflik peperangan di Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 kini telah mengakibatkan lebih 51,000 kematian yang menyaksikan berlangsugnya kekejaman berterusan jim Zionis di wilayah bergolak tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram