[VIDEO] Wartawan wanita Palestin maut serangan udara Israel, sehari selepas karya terpilih Festival Filem Cannes


  • Benua
  • Isnin, 21 Apr 2025

Fatima Hassouna maut dalam serangan udara Israel sehari selepas mengetahui dokumentarinya dipilih ke Festival Filem Cannes.

 

SEORANG wartawan foto wanita Palestin, Fatima Hassouna terbunuh dalam satu serangan udara oleh tentera Israel ke atas rumah keluarganya di Bandar Gaza, hanya sehari selepas karyanya diumumkan terpilih untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis.

Insiden menyayat hati itu turut meragut nyawa 10 ahli keluarganya termasuk kakaknya yang sedang hamil, apabila rumah mereka di kawasan kejiranan Al-Touffah musnah dibedil pada 16 April lalu.

Fatima yang baru berusia 25 tahun dikenali sebagai wartawan dan jurufoto berdedikasi yang sekian lama mendokumentasikan kehidupan di Gaza melalui lensa kamera, merakamkan detik-detik penderitaan, ketabahan dan perjuangan rakyat Palestin dalam konflik yang berpanjangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita kena serangan fizikal dekat lampu isyarat diminta tampil ke balai — Polis Shah Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan pantas anggota tentera selamatkan budak perempuan hanyut dibawa arus sungai di Ranau

Sumbangan Fatima baru-baru ini dipaparkan dalam dokumentari bertajuk 'Put Your Soul on Your Hand and Walk', arahan pengarah Sepideh Farsi, yang mengetengahkan kisah wanita-wanita Gaza melalui pertukaran rakaman video.

Filem itu diumumkan terpilih ke Festival Filem Cannes sehari sebelum Fatima terkorban.

Dalam hantaran terakhirnya di Instagram, Fatima menulis: "Jika aku mati, aku mahu mati yang bergema, kematian yang akan didengari dunia, satu impak yang akan kekal sepanjang zaman."

 

 

 

 

Organisasi kemanusiaan antarabangsa, Plan International yang pernah bekerjasama dengan fatima melalui program She Leads, menyifatkan dia sebagai seorang aktivis muda yang bersemangat tinggi dan jurufoto berbakat besar.

Pengarah Kemanusiaan Global Plan International, Dr Unni Krishnan menyifatkan Fatima sebagai obor inspirasi buat semua orang.

"Melalui keberanian dan penceritaan yang jujur, Fatima membuka jendela kepada dunia tentang kos kemanusiaan akibat konflik, dan tentang hati rakyat Gaza," katanya.

Tambah beliau, Fatima bukan sekadar jurukamera, tetapi seorang pejuang suara rakyat dan duta belia yang memperjuangkan hak wanita dan masa depan generasi muda Gaza.

Dalam satu artikel yang ditulis oleh Fatima tahun lalu, dia mengajukan satu persoalan yang cukup menyentuh hati pembacanya, "Bukankah kami juga manusia, seperti kamu?"

Kematian Fatima turut mendapat perhatian Pusat Perlindungan Wartawan Palestin yang menyatakan rasa dukacita atas kehilangan tersebut.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), lebih 175 wartawan dan pekerja media telah terbunuh sejak konflik Gaza meletus, menjadikannya tempoh paling meragut nyawa dalam kalangan pengamal media sejak organisasi itu mula merekodkan data pada 1992.

Sejak Mac lalu, tentera Israel kembali melancarkan serangan darat dan udara ke atas Gaza selepas Hamas dilaporkan menolak cadangan gencatan senjata tanpa menamatkan perang. Kerajaan Israel menyatakan operasi ketenteraan akan diteruskan sehingga baki 59 tebusan dibebaskan dan Gaza dinyahsenjatakan sepenuhnya.

Fatima Hassouna kini menjadi satu lagi simbol perjuangan rakyat Palestin dan suaranya mungkin telah terhenti, namun legasi dan karya Fatima akan terus hidup dalam ingatan dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram