[VIDEO] Iran serang balas Israel selepas komander tentera tertinggi, 6 saintis nuklear antara 78 maut


  • Benua
  • Sabtu, 14 Jun 2025

Serangan balas Iran menyaksikan kerosakan teruk di pusat bandar Tel Aviv dengan kira-kira 60 sudah cedera. — Agensi

KONFLIK Timur Tengah antara Iran dan negara haram Israel dilihat semakin tegang selepas republik tersebut bertindak membalas serangan terhadap rejim Zionis.

Ini susulan serangan tentera Israel pada Jumaat ke atas pusat nuklear Iran yang mengakibatkan kerugian serta beberapa lokasi lain yang mengorbankan beberapa pegawai tinggi negara berkenaan.

Ia termasuk Ketua Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami dan Jeneral Mohammad Bagheri yang merupakan nadi utama dalam kepimpinan ketenteraan Iran.

BACA LAGI: [VIDEO] Israel serang tapak nuklear, markas tentera Iran

BACA LAGI: [VIDEO] Israel serang lapangan terbang Yaman, musnahkan 3 pesawat awam

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei turut menyatakan tindakan ketenteraan tersebut menyaksikan enam saintis nuklear turut terkorban.

"Kami tidak akan membenarkan mereka (Zionis) terlepas daripada serangan terkutuk yang sudah dilakukan. Dengan jenayah ketenteraan ini, rejim mereka sudah bersedia mengalami nasib yang lebih teruk," katanya.

Tidak lama selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, pihak ketenteraan Iran melancarkan serangan balas yang mensasarkan kawasan sekitar ibu negara haram berkenaan, Tel Aviv.

Selain itu, Iran dilaporkan menghantar kira-kira 100 dron ke dalam ruang udara Israel dengan beberapa dapat dipintas, namun masih ada yang berjaya menepati sasaran sehingga mengakibatkan kerosakan.

Setakat ini, media Israel melaporkan seramai 60 orang awam cedera akibat serangan tersebut dengan video memaparkan kepulan asap hitam menyelubungi pusat bandar.

Penduduk negara haram itu turut diingatkan supaya memasuki zon keselamatan dengan terdapat kemungkinan lebih banyak serangan bakal dilancarkan Iran dalam masa terdekat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram