[VIDEO] '10 dibalas 10, dengar dentuman', rakyat Malaysia kongsi detik cemas, saksikan misil Iran di langit Qatar


  • Massa
  • Khamis, 26 Jun 2025

Penduduk di Qatar menceritakan bagaimana situasi tersebut menggemparkan keadaan penduduk.

PERANG 12 hari antara Iran dan negara haram Israel mungkin sudah berakhir dengan tercapainya gencatan senjata oleh kedua-dua pihak sehingga menyaksikan siri pengeboman dan serangan udara telah dihentikan.

Namun trauma yang melanda terhadap penduduk di rantau Asia Barat masih tinggi dengan wujud kebimbangan perang akan kembali tercetus pada bila-bila masa antara kedua-dua pihak itu.

Campur tangan Amerika Syarikat (AS) dilihat berjaya meredakan ketegangan tetapi pada masa sama turut mengheret negara sekutunya seperti Qatar, Arab Saudi dan Jordan ke konflik itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Konflik Iran-Israel makin tegang, kapal perang AS dikerah ke Timur Tengah

BACA LAGI: [VIDEO] Konflik di Asia Barat kian meruncing, Wisma Putra arah rakyat Malaysia segera tinggalkan Iran

Ini disebabkan serangan udara AS terhadap fasiliti nuklear Iran mendapat restu negara Arab yang lain, sekali gus mengundang kemarahan Teheran yang bertindak balas melancarkan serangan ke pangkalan udara AS di Qatar, beberapa jam sebelum gencatan senjata dipersetujui.

Meskipun serangan misil itu tidak mengundang kerosakan teruk di Qatar, tetapi ancaman yang lebih besar tetap menggusarkan penduduk negara itu termasuk rakyat Malaysia yang berada di sana.

Mengimbas kembali detik-detik menggerunkan itu, rakyat Malaysia, Ahmad Mehdi Qurani berkata, dia berada di Qatar semasa Iran melancarkan serangan balas terhadap pangkalan tentera AS.

Dia yang baru sahaja menetap di negara tersebut bermula awal tahun lalu itu menceritakan bagaimana keadaan tersebut menggemparkannya sekeluarga selepas tidak lama pulang dari percutian.

"Setelah kepenatan dalam penerbangan, kami berehat dan kira-kira selepas waktu Asar, saya dapati Kedutaan Iran di televisyen mengingatkan rakyatnya di Qatar supaya berlindung kerana akan ada serangan pada waktu malam.

"Pada awalnya, saya menganggap ia hanya amaran kecemasan, jadi kami tidak mengambil serius hal itu. Tetapi, ketika waktu makan malam, saya terdengar bunyi dentuman semasa berada di ruang tamu.

Pangkalan tentera AS di Qatar yang menjadi sasaran Iran semasa serangan udara itu. Agensi

"Saya terasa gegaran, mungkin disebabkan letupan semasa sistem keselamatan udara Qatar memintas peluru berpandu Iran. Saya segera bergegas ke dalam bilik untuk mengejutkan keluarga," katanya kepada Majoriti.

Menyedari situasi mencemaskan itu, Qurani segera menghubungi rakannya yang bertugas dalam tentera udara Qatar untuk mengesahkan sama ada dentuman itu hanya ujian atau serangan dari negara tersebut.

Serangan Iran ke atas pangkalan ketenteraan AS di Qatar dilancarkan pada Isnin lalu selepas fasiliti nuklear yang terletak di Fordow, Isfahan dan Natanz menjadi sasaran.

Tindakan sekutu rejim Zionis itu diambil bagi melumpuhkan program nuklear Iran, namun pihak ketenteraan negara republik itu mengesahkan senjata nuklear mereka sudah dialihkan terlebih dahulu.

Serpihan peluru berpandu yang dilaporkan dikesan sekitar Qatar susulan serangan tersebut. Agensi

Mengulas lanjut, Qurani menceritakan bagaimana kelihatan dua peluru berpandu yang bergerak pantas ke arah sasaran dengan serangan itu cukup mengejutkan baginya sekeluarga.

"Ini kali pertama kita saksikan situasi sebegini. Saya okay, cuma anak-anak mungkin terkejut. Mereka berasa takut dan saya ingatkan mereka supaya terus kekal berada di dalam rumah. Kita risau sekiranya terdapat peluru sesat dan serpihan daripada impak.

"Setakat ini, pihak kedutaan Malaysia kerap berkongsi perkembangan, termasuk sehari sebelum serangan untuk mengenal pasti jumlah penduduk tempatan yang berada di sana," katanya.

Berdasarkan laporan terdahulu, sebanyak 10 misil dilancarkan Iran ke arah markas ketenteraan AS di Qatar dan satu daripadanya menghala ke Iraq dengan jumlah itu dilihat sebagai balasan terhadap serangan awal mereka.

Namun, menurut perkembangan semasa, tiada lagi serangan berlaku antara kedua-dua negara bergolak itu dengan ruang udara Qatar sudah dibuka bagi penerbangan domestik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram