Dilengkapi AI, Arab Saudi guna dron kawal kebakaran, operasi menyelamat sepanjang musim haji 2025


  • Benua
  • Isnin, 02 Jun 2025

Dron dinamakan sebagai Falcon akan membantu petugas keselamatan Arab Saudi mengawal kebakaran dan operasi menyelamat.

BAGI memastikan tahap keselamatan para jemaah haji berada dalam keadaan terbaik, Arab Saudi meningkatkan tahap keselamatan dalam hal kebakaran dan menyelamat dengan penggunaan dron.

Penggunaan dron yang dikenali sebagai Falcon itu dikuasakan dengan kecerdasan buatan (AI) dan ia dipakai buat pertama kali dalam sejarah musim haji.

Menurut Direktorat Jeneral Pertahanan Awam Arab Saudi pada Ahad, penggunaan dron itu adalah untuk operas mengawal kebakaran dan menyelamat di kawasan beraltitud tinggi atau lokasi sukar untuk diakses.

BACA LAGI: [VIDEO] Jemaah haji rakam konten, berisiko kena tindakan tegas pihak berkuasa di Tanah Suci

BACA LAGI: Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanah Suci

Musim haji 2025 akan dilengkapi dengan penggunaan dron.

Dron tersebut boleh terbang selama 12 jam pada altitud tinggi sambil mampu membawa beban seberat 40 kilogram. Ia turut dilengkapkan dengan sistem mengawal kebakaran serba boleh, selain sistem keselamatan, kawal dan menyelamat bersepadu.

Keupayaannya merangkumi kamera terma dan keupayaan untuk menyiarkan rakaman secara langsung dari lokasi, yang boleh dihubungkan terus ke pusat arahan dan kawalan.

Dalam masa yang sama, dron ini menawarkan pelbagai aplikasi untuk bangunan tinggi, tapak industri, kawasan yang mengandungi bahan berbahaya, persekitaran sesak, dan kebakaran hutan.

Kelebihan utamanya termasuk kelajuan tindak balas yang pantas, pengurangan risiko kepada anggota, dan peningkatan keupayaan membuat keputusan melalui imejan masa nyata (real time image).

Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Mejar Jeneral Hamoud bin Suleiman Al-Faraj, membuat pengumuman tersebut semasa Sidang Media Panglima-Panglima Pasukan Keselamatan Haji. Al-Faraj menekankan kepentingan langkah pencegahan melalui lawatan pra-pemeriksaan ke kediaman jemaah, menjalankan rondaan keselamatan, serta melaksanakan beberapa senario dan latihan bersama dengan pihak berkuasa berkaitan di Tanah Suci.

Menurutnya, segala usaha yang dilakukan adalah untuk meningkatkan koordinasi dan tindak balas yang optimum terhadap situasi kecemasan, dengan sokongan daripada pasukan tindak balas pantas yang dikerahkan sepanjang masa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram