[VIDEO] Jemaah haji rakam konten, berisiko kena tindakan tegas pihak berkuasa di Tanah Suci


  • Maya
  • Selasa, 20 Mei 2025

Jemaah haji Malaysia diingatkan agar tidak merakam video atau gambar melibatkan pihak berkuasa Arab Saudi.

JEMAAH haji Malaysia yang kini berada di Tanah Suci diingatkan agar tidak merakam sebarang video atau gambar melibatkan pihak berkuasa Arab Saudi termasuk anggota polis dan tentera yang sedang bertugas.

Amaran tersebut disampaikan melalui pesanan rasmi Tabung Haji kepada semua jemaah, susulan peraturan ketat yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi berkaitan keselamatan dan privasi petugas.

Perkara itu turut dikongsikan menerusi hantaran video petugas media bagi sebuah program televisyen bersempena musim haji, Rozaihan Rahim, di laman Instagramnya.

 BACA LAGI: Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanah Suci

BACA LAGI: 'Saya yang sakit, tapi dia pergi dulu,' isteri jemaah haji kedua yang meninggal dunia terkenang sifat baik suami

 

 

Beliau berkata, tindakan merakam gambar atau video anggota keselamatan yang sedang berkawal atau menjalankan tugas boleh dianggap sebagai kesalahan serius di bawah undang-undang tempatan.

“Dilarang merakam video atau gambar polis, askar atau pihak berkuasa sini yang sedang berkhidmat.

"Contohnya mereka berkawal di depan Masjidil Haram atau di mana-mana saja, jangan rakam,” tegasnya.

Rozaihan menambah, individu melanggar arahan itu berisiko ditangkap, disoal siasat dan dihadapkan ke mahkamah, seterusnya menyukarkan perjalanan ibadah haji masing-masing.

Tabung Haji turut menasihatkan para jemaah agar lebih berhati-hati apabila menggunakan telefon pintar atau kamera untuk merakam kenangan di Tanah Suci, khususnya ketika berada di kawasan yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan.

“Mohon semua berkelakuan baik dan menjaga nama Malaysia di sini. Insya-ALLAH, jika patuhi peraturan semua akan selamat,” ujarnya.

Tindakan itu sejajar dengan usaha kerajaan Arab Saudi memastikan kelancaran musim haji serta menjaga keselamatan dan keharmonian di kota suci umat Islam yang menerima jutaan pengunjung setiap tahun.

Justeru, jemaah haji diingatkan agar fokus kepada ibadah, mengelakkan membuat kandungan media sosial yang boleh mengundang risiko dan menghormati undang-undang serta budaya tempatan sepanjang berada di Makkah serta Madinah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram