Klinik STL terus cungkil bakat muda, pertama kali dianjurkan di Pahang


  • Podium
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Klinik STL yang pertama bagi musim 2025 bermula di Kuala Lipis, Pahang.

SEIRING dengan permulaan musim baharu Sepak Takraw League (STL) 2025, acara tahunan mengadakan Klinik STL juga dilakukan bagi memeriahkan lagi sukan tersebut dalam kalangan pelajar sekolah.

Untuk julung kalinya, Klinik STL diadakan di Pahang dengan Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Bertau, Kuala Lipis menjadi lokasi pertama program itu diadakan. Ia melibatkan pelajar berusia 12 hingga 17 tahun.

Ia sebahagian daripada sambutan pembukaan STL musim baharu yang menyaksikan persaingan Divisyen 1 akan diadakan di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada 28 Mei hingga 1 Jun.

BACA LAGI: STL 2025 tambah lokasi GP, wujudkan sistem kelas lebih ‘drama’

BACA LAGI: Kelab Thailand, India antara wakil antarabangsa warnai STL Champions Cup

Antara pelajar yang menyertai Klinik STL di Pahang.

Ketua Jurulatih Klinik STL dan bekas perejam emas skuad sepak takraw negara, Mohd Futra Abdul Ghani berkata, klinik sebegini penting untuk mempersiapkan anak-anak muda dengan asas sepak takraw supaya mereka boleh menjadi pelapis kebangsaan di masa depan.

"Selain itu, kerjasama erat daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) turut memperkukuhkan lagi pelaksanaan program ini. Ia sejajar dengan seruan kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperluaskan inisiatif pembangunan sukan ke kawasan luar bandar, termasuk dalam komuniti Orang Asli dan juga melibatkan penyertaan belia wanita sebagai pelapis masa depan.

"Antara kemahiran yang diajar dalam klinik ini termasuklah kawalan bola, libasan, dan servis. Semua kemahiran asas ini amat penting bagi membentuk asas yang kukuh kepada pemain muda. Diharapkan pendedahan awal ini akan menyemai minat dalam kalangan pelajar untuk mendalami sukan tradisional ini sejak di bangku sekolah lagi," ujar Futra.

Sesi Klinik STL akan menjelajah ke semua lokasi Divisyen Premier diadakan dengan Terengganu menjadi lokasi seterusnya.

Ia kemudiannya akan menjelajah ke Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang pada Julai. 

Salah satu keistimewaan utama tahun ini juga ialah peluang eksklusif untuk peserta terbaik dari setiap lokasi menyertai Kem Latihan Asas di Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia, pusat latihan pertama seumpamanya di negara ini.

Program pembangunan bakat ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang turut memberi pengiktirafan program. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram