Penggempur PDRM-TFC-Sri Pahang boleh 'isi tempat kosong' Rodrigo Dias


  • Podium
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Suzuki (kiri) dan Akinade (kanan) berpotensi menggantikan Rodrigo Dias di Penang FC.

KELAB Liga Super, Penang FC memilih untuk tidak lagi bersama dengan penyerang mereka iaitu Rodrigo Dias.

Meninggalkan kelab dengan reputasi tidak  begitu baik dalam kalangan penyokong kerana prestasinya, Dias menghasilkan 10 gol dalam 22 penampilan.

Dengan tempatnya kini kosong, Penang harus mencari penggempur baharu untuk menguatkan barisan serangan mereka musim depan.

BACA LAGI: Memukau berdepan Man United, Hai Long Nguyen wajar direbut Penang, Selangor, Terengganu

BACA LAGI: Nabil Latpi rentas sempadan, tinggalkan Penang sertai skuad futsal Kedah

Bruno Suzuki

Merupakan seorang pemain yang cukup berpengalaman di Liga Super, Bruno Suzuki merupakan sasaran yang cukup baik untuk Penang dapatkan pada musim depan. 

Kini beraksi bersama PDRM FC, Suzuki menghasulkan enam gol berserta empat bantuan gol dalam 23 penampilan bersama-sama Sang Saka Biru.

Suzuki (jersi biru) merupakan penyerang yang baik untuk PDRM.

Pengalaman luas Suzuki dalam Liga Super pastinya akan membantu Penang kerana mereka memerlukan penyerang senior yang boleh menghadirkan gol buat mereka.

Jika disambar, Penang dilihat dapat mencipta gandingan yang seimbang bersama-sama Alif Ikmalrizal dan Dylan Wenzel-Halls.

Ismaheel Akinade

Jika Suzuki bukan pilihannya, Penang boleh cuba mendapatkan penyerang Terengganu FC, Ismaheel Akinade bagi menguatkan jentera depan.

Penyerang tinggi lampai itu bagaimana pun mempunyai musim yang agak longlai bersama Terengganu apabila Akinade sekadar menjaringkan lima gol serta satu bantuan gol dalam 20 penampilan Liga Super.

Akinade tidak begitu cemerlang bersama Terengganu.

Akan tetapi, keupayaan fizikal Akinade tidak boleh dipandang rendah. Sudah pasti, jika direkrut oleh Penang, jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail mempunyai perancangan tersendiri untuk meningkatkan kualitinya.

Akinade mungkin boleh didapati dengan kontrak yang agak murah dan lebih mesra dengan bajet Penang. Oleh itu, Harimau Kumbang mungkin boleh menggunakan peluang ini untuk mendapatkannya.

Mykola Ahapov

Seorang lagi pemain yang boleh diberikan pertimbangan untuk diambil oleh Penang adalah penyerang Sri Pahang FC iaitu Mykola Ahapov.

Penyerang tersebut mempunyai masa yang sukar di Sri Pahang dengan dia sekadar menghasilkan tiga gol dan dua bantuan gol dalam 23 penampilan Liga Super.

Fandi Ahmad begitu sabar dengan prestasi Ahapov.

Di sebalik kesukarannya dalam mendapatkan rentak bersama Sri Pahang, Ahapov bagaimana pun menunjukkan kerja keras dan tahap profesional tinggi sepanjang musim.

Jika menyertai kelab baharu, mungkin persembahannya bakal berubah apabila bersama rakan sepasukan dan jurulatih yang bermain dengan corak permainan berbeza dan mungkin lebih sesuai dengan Ahapov. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram