
MALAYSIA bakal berdepan ujian mencabar dalam usaha membawa pulang gelaran Piala Asean B-23 apabila diundi bertemu musuh tradisi, Indonesia di peringkat kumpulan.
Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat, skuad kendalian Nafuzi Zain diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama Indonesia sebagai tuan rumah selain Filipina dan Brunei.
Keputusan itu pastinya disambut baik oleh Indonesia dan penyokongnya, memandangkan mereka bermain di laman sendiri pastinya sokongan padu akan diberikan ketika bertemu Harimau Muda.
BACA LAGI: Ramon Machado, 'flop' JDT-Selangor antara bintang paling menyerlah ketika lakukan 'debut'
BACA LAGI: Diundi bertemu Thailand, 'gameplay' Nafuzi jadi sandaran bawa Malaysia ke Piala Asia B-23
Ia adalah ujian pertama Nafuzi dengan pertandingan akan diadakan pada 15 hingga 29 Julai sebelum berdepan cabaran lebih besar dalam kelayakan Piala Asia B-23, September kelak.
Ujian tersebut ternyata sukar, namun begitu dengan kualiti Nafuzi yang sudah terbukti di Liga Malaysia membuatkan penyokong berasa yakin dengannya.
Permintaan mereka cuma satu, pastikan Harimau Muda akan tampil garang dan berjaya menewaskan Indonesia.
Bukan sekadar faktor maruah, namun Indonesia dilihat sebagai watak penting dalam menghalang Malaysia untuk menjuarai peringkat kumpulan.
Oleh itu, Nafuzi harus memberikan persembahan terbaik supaya Harimau Muda tidak ditumpaskan oleh Garuda Muda di kejohanan tersebut.
"Dengan pasukan lain, kalau tak menang, seri pun tak apa. Yang penting (lawan) Indonesia mesti menang," ujar penyokong bernama Raja Kertas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram