'Kita tetap akan jumpa lawan lagi bagus', Syihan positif aksi Cape Verde pastikan HM bertambah yakin jumpa Vietnam


  • Podium
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Skuad Malaysia seri 1-1 bertemu Cape Verde.

PENJAGA gol skuad kebangsaan, Syihan Hazmi bersyukur apabila perlawanan menentang Cape Verde membantu dia dan para pemain membina keyakinan.

Menentang pasukan yang berada di ranking ke-72 dunia dan berjaya meraih keputusan 1-1 jelas memberikan semangat kepada para pemain Harimau Malaya untuk berdepan lawan lebih sukar.

Dengan aksi bertemu Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027 akan diadakan pada 10 Jun, Syihan mengatakan setiap perlawanan sebegitu penting untuk membina keyakinan sebelum ke Piala Asia.

BACA LAGI: Ada custom glove’, Syihan Hazmi bocor rahsia cemerlang jaga gawang JDT

BACA LAGI: Kepantasan, 'combination play' kunci Harimau Malaya hadapi cabaran fizikal sasa pemain Afrika

Syihan berharap dia dan rakan sepasukannya akan lebih serasi sebelum bertemu Vietnam. — Malaysia NT

“Macam mana sekali pun, kita tetap akan berjumpa dengan pasukan yang lebih baik daripada kita dari sudut ranking, jadi kita anggap perlawanan jumpa Cape Verde ini satu pengalaman.

“Sasaran kita memang ingin ke Piala Asia, jadi kita ambil setiap perlawanan sebagai satu proses untuk membina keyakinan menjelang perlawanan sebenar,” ujar Syihan kepada media.

Panggilan skuad kebangsaan kali ini menyaksikan banyak muka baharu melibatkan pemain muda dan pemain warisan dan mereka buat pertama kalinya beraksi bersama-sama dalam satu aksi kompetitif.

Bagi Syihan, itu adalah satu petanda positif namun begitu tahap keserasian antara para pemain masih perlu ditingkatkan segera.

Hal ini kerana, Harimau Malaya harus dalam keadaan terbaik sebelum perlawanan penting bertemu Vietnam.

“Bagi saya, tahap keserasian antara kami harus ditingkatkan dengan segera. Sebab perlawanan pun dah nak dekat.

“Perlawanan menentang lawan lebih kuat membantu kami membina keyakinan dengan lebih cepat, ia turun membantu kami semasa beraksi di padang,” kata Syihan.

Syihan ditemui ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman sebagai duta barangan sukan dari Indonesia iaitu FAT di Cyberjaya, Selangor pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram