‘Ada custom glove’, Syihan Hazmi bocor rahsia cemerlang jaga gawang JDT


  • Podium
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Syihan mendedahkan yang dia mempunyai sarung tangan direka khas untuk membantu permainannya.

PENJAGA gol kebangsaan, Syihan Hazmi mendedahkan rahsia kecemerlangannya ketika menjaga gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Harimau Malaya terletak kepada sarung tangannya.

Bercakap kepada media ketika majlis menandatangani memorandum sebagai duta utama jenama barangan sukan dari Indonesia iaitu FAT, Syihan mengatakan yang kesemua sarung tangan miliknya adalah direka khas untuknya atau custom-made.

Kata Syihan, perkara itu membantunya untuk lebih mudah menangkap bola atau menepis percubaan yang dilakukan pihak lawan. 

BACA LAGI: Sukar saingi Syihan di JDT, Haziq Nadzli ada 3 jalan keluar kembang karier

BACA LAGI: Hatrik Bergson kuasai Darul Aman, momen anak jati Baling ‘ayam-ayamkan’ Syihan ubati hati fans Kedah

Syihan kini merupakan duta jenama FAT.

Syihan mengatakan yang dia mengubah suai sarung tersebut dengan membesarkan bahagian dua jari di bahagian tengah tangannya iaitu jari hantu dan jari manis.

Kata Syihan, ubah suai dibuat pada dua jari tersebut disebabkan bola sering ditangkap menggunakan jari tersebut.

"Untuk saya, dua-dua jari tersebut memang digunakan untuk menahan bola. Hal ini kerana, apabila bola datang ke arah tangan, lazimnya ia akan tiba di bahagian tengah. Oleh itu kedua-dua jari tersebut lebih banyak digunakan.

"Bola tersebut lazimnya tidak akan pergi ke arah tepi baik kiri atau kanan, sebab itu dua jari tengah itu sangat penting. Tiga jari yang lain akan digunakan untuk menyokong saja dua jari tersebut," jelas Syihan.

Syihan dilantik sebagai duta utama bagi jenama FAT sebagai salah satu usaha syarikat tersebut melebarkan sayap di Malaysia.

Perjanjian yang ditandatangani dengan tempoh 1+1 tahun itu turut menyaksikan tiga lagi penjaga gol lain turut menyertai Syihan iaitu Sikh Izhan Nazrel (Selangor FC) dan duo Terengganu FC iaitu Rahadiazli Rahalim serta Syed Nasrulhaq Syed Bidin.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram