
PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim memberi bayangan tegas mengenai potensi perpindahan bekas anak buahnya di Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres, ke Old Trafford musim panas ini.
Walaupun Red Devils mara ke separuh akhir Liga Europa, prestasi domestik mereka terus menghampakan apabila kini berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, hanya tiga mata mengatasi zon penyingkiran.
Situasi ini menyebabkan Amorim dijangka melakukan rombakan besar bagi mengembalikan kegemilangan kelab gergasi Inggeris itu.
BACA LAGI : The Cats bernafsu besar, Safawi Rasid-Paulo Josue dalam radar Kuching City, 'back up' Shamie Iszuan
BACA LAGI : TAA mungkin kekal di Liverpool, buat 'U-turn' angkara Carlo Ancelotti
Setakat ini, hanya Patrick Dorgu dibawa masuk sejak Amorim mengambil alih tugas daripada Erik ten Hag awal musim ini.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim — Agensi
Ketika ditanya menjelang aksi separuh akhir Liga Europa menentang Athletico Bilbao mengenai kemungkinan membawa masuk Gyokeres pada musim panas ini, Amorim memberikan amaran tegas kepada pemain yang mahu menyertai kelab tersebut.
"Saya tidak bercakap dengannya. Tapi jika ada pemain yang hanya mahu datang ke Manchester United kerana Liga Juara-Juara, maka dia bukan pilihan kami.
"Kami mahukan pemain yang benar-benar mahu mewakili United, bukan sekadar mahu beraksi dalam kejohanan tertentu."
Beliau membuat kenyataan itu selepas ditanya tentang spekulasi bahawa Gyokeres mahu menyertai kelab yang layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Arsenal kini dilaporkan sebagai kelab paling hampir mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan Sweden itu, dengan Chelsea turut menunjukkan minat.
Menurut laporan akhbar Portugal, A Bola, Gyokeres mempunyai klausa pelepasan sekitar £60 juta (RM345 juta) lebih rendah daripada £85.7 juta (RM492 juta) yang ditetapkan sebelum ini, hasil persetujuan antara pemain dan kelab susulan prestasi cemerlang sejak menyertai Sporting pada 2023.
Arsenal yang kini dalam buruan gelaran liga masih mencari penyerang prolifik, namun mereka berdepan saingan daripada Chelsea yang sebelum ini berjaya mencantas United untuk mendapatkan Geovany Quenda dari Sporting dalam perjanjian bernilai £43.7 juta (RM247 juta) bulan lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram