[VIDEO] Merpati 2 sejoli menyamar pelanggan, kebas barang kemas lebih RM100,000 di Shah Alam


  • 112
  • Isnin, 28 Apr 2025

Tangkap layar CCTV pasangan kekasih menyamar sebagai pelanggan bertindak mencuri barang kemas bernilai lebih RM100,000 di sebuah kedai emas di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.

SEPASANG kekasih yang menyamar sebagai pelanggan bertindak mencuri barang kemas bernilai lebih RM100,000 di sebuah kedai emas di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, suspek lelaki dan wanita berkenaan memasuki premis berkenaan kononnya untuk membeli barang kemas.

"Ketika pekerja sibuk menunjukkan beberapa barangan kepada mereka, suspek wanita mengambil kesempatan menyimpan beberapa utas rantai dan cincin emas ke dalam poket tanpa disedari pekerja.

BACA LAGI :  [VIDEO] Guru maut ketika beraksi di litar lumba Melaka

BACA LAGI : [VIDEO] Ada 4 rekod jenayah, pemandu naik hantu langgar lelaki ditahan — Polis Klang

"Kehilangan itu hanya dikesan selepas semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek wanita berkelakuan mencurigakan semasa pekerja leka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Antara barang kemas yang dicuri termasuk dua bentuk cincin emas dan tiga utas rantai emas dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM111,743.55.

Menurut Mohd Iqbal, semasa kejadian, suspek lelaki memakai topi berwarna merah dan cermin mata hitam, manakala suspek wanita memakai topi putih serta pelitup muka.

"Usaha untuk mengesan pasangan terbabit kini sedang giat dijalankan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes curi barang kemas di kedai emas Shah Alam ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram